KANGAR, 14 Dis (Bernama) -- Penyenggaraan dan menaik taraf tempat pelancongan di Perlis sentiasa dilakukan dengan menggunakan peruntukan diterima daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Wan Badariah Wan Saad berkata projek berkaitan pelancongan yang dijalankan pada tahun ini di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) dan Projek Pembangunan adalah sebanyak 28 projek dengan kos keseluruhan bernilai RM9.89 juta.
“Penekanan kepada aspek kebersihan juga diberikan keutamaan kepada semua pihak melalui Kempen Perlis Bersih Sihat...semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
“Pelaksanaan program Tahun Melawat Perlis 2024-2025 memerlukan komitmen daripada semua pihak bagi memastikan kejayaannya,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datin Marzita Mansor (PN-Sena) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan mengkaji keperluan kemudahan awam sama ada membina baharu atau menaik taraf dan juga penambahbaikan keindahan venue-venue pelancongan di Perlis untuk Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Wan Badariah berkata kerajaan negeri amat komited dalam menjayakan Tahun Melawat Perlis dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Kecil melibatkan kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai pengerusi dan ahlinya terdiri daripada jabatan, agensi kerajaan serta pihak swasta merangkumi kewangan, promosi, senggara, keceriaan dan infrastruktur serta pelancongan agama.
“Setiap Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan ini mempunyai peranan masing-masing mengikut fungsi yang telah disenaraikan. Keperluan bagi penambahbaikan keindahan venue-venue pelancongan yang ada di negeri Perlis ini dibincangkan dengan lebih terperinci dalam jawatankuasa,” katanya.
Menurut Wan Badariah, jawatankuasa berkenaan berperanan untuk memastikan tempat pelancongan sentiasa dikawal selia dengan rapi dan bersih selain menjalankan pemeriksaan inventori fizikal produk pelancongan serta memastikan kemudahan pelancongan berada dalam keadaan baik.
“(Selain itu) memastikan kebersihan, pencahayaan dan landskap negeri Perlis sentiasa dalam keadaan menarik dan baik, memeriksa kebolehsampaian ke tempat pelancongan dari segi kemudahan asas seperti jalan raya dan pengangkutan serta memastikan kemudahan asas seperti talian telekomunikasi, air dan elektrik berada dalam keadaan baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial