EKONOMI

Axiata Perkukuh Kedudukan Dalam Menguasai Pasaran Fbb, Fmc Indonesia

06/12/2023 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Anak syarikat Axiata Group Bhd (Axiata) Indonesia, PT XL Axiata Tbk dan PT Link Net Tbk, mencapai persetujuan tidak terikat untuk memperkukuh kedudukan masing-masing bagi mengoptimumkan peluang dalam pasaran jalur lebar tetap (FBB) dan konvergen mudah alih tetap (FMC) yang kurang ditembusi di Indonesia.

Dalam kenyataan pada Rabu, Axiata Group menjelaskan persetujuan tidak terikat itu merangkumi pindahan perniagaan FBB milik Link Net, termasuk 750,000 pelanggannya, kepada XL Axiata.

Syarikat telekomunikasi itu memaklumkan langkah itu juga termasuk pelaksanaan tambahan dua juta kediaman baharu untuk dihubungkan oleh Link Net, yang akan membolehkan XL Axiata menawarkan perkhidmatan FBB dan FMC kepada pelanggannya yang semakin meningkat dan rakyat Indonesia yang lebih luas.

“Apabila pelaksanaan tambahan dua juta kediaman itu selesai, Link Net akan membolehkan hampir 6.5 juta akses kepada kediaman yang terhubung dengan rangkaian, sebagai FibreCo borong terkemuka,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood berkata kerjasama itu akan melancarkan akses kepada FBB berkualiti premium dan perkhidmatan konvergen kelas pertama, dengan rakyat Indonesia kini boleh mengalami pengalaman pelanggan yang diperkaya.

“Selain itu, usaha bersama ini sejajar dengan objektif kerajaan untuk menggalakkan pendigitalan dalam masyarakat, menyumbang kepada kemajuan teknologi negara dan transformasi digital,” katanya.

Menurut Axiata Group, XL Axiata dan Link Net akan meneruskan usaha untuk menyediakan satu perjanjian terikat bagi terma, yang akan dilaksanakan dengan mematuhi peraturan semasa termasuk Lembaga Perkhidmatan Kewangan yang berkaitan dengan urus niaga gabungan dan urus niaga material.

Perjanjian bersama itu menandakan satu pencapaian penting memandangkan Axiata semakin hampir untuk merealisasikan transformasi berstruktur strategik XL Axiata dan Link Net di Indonesia.

“Pembinaan sejumlah besar rumah baharu dengan dihubungkan ke rangkaian oleh Link Net akan menyokong XL Axiata menegaskan peranan pentingnya sebagai FibreCo terkemuka.

“Selain itu, pindahan pelanggan Link Net kepada XL Axiata akan mengukuhkan kedudukan XL Axiata sebagai ServeCo yang terkemuka, memperkukuh aspirasi pertumbuhan tawaran FBB dan FMC di seluruh Indonesia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan