AM

Projek Psi, Proses Serahan Bantuan Bot Kepada Nelayan Dijangka Selesai 2026

02/12/2023 12:52 PM

GEORGE TOWN, 2 Dis (Bernama) -- Proses penyerahan bantuan bot dan enjin kepada nelayan yang layak di kawasan projek Penang South Island (PSI), dijangka selesai pada suku keempat 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Datuk Seri Farizan Darus.

Beliau berkata seramai 318 nelayan di kawasan Tahap 1 iaitu Unit Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, layak menerima bantuan bot dan enjin di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

“Penyerahan bot dan enjin serta peralatan berkaitan ini telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lalu, bagi memastikan proses perolehan dan pembinaan bot dapat berjalan lancar memandangkan bilangan penerima yang ramai.

“Kita menyasar untuk menyerahkan 10 buah bot setiap bulan, tetapi bergantung kepada kelancaran proses perolehan, pembinaan bot dan pembekalan peralatan berkaitan yang mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bot dan Enjin, serta Penyampaian Hadiah Kecemerlangan dan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 38 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut menerima replika kunci bot dan enjin, yang diserahkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan 12 nelayan turut menerima sumbangan pukat, manakala 11 anak nelayan menerima hadiah kecemerlangan dan hadiah kemasukan ke IPT.

Farizan berkata ketika ini Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd sedang menguruskan proses perolehan dan pembekalan bot berkenaan, di bawah pemantauan pemaju projek PSI iaitu Silicon Island Development (SID).

Bot yang ditawarkan di bawah skim SIMP berukuran 8.23 meter (27 kaki) dan dilengkapi enjin berkuasa kuda 90/100HP, serta peralatan seperti Sistem Pengesanan Global (GPS), sonar dan robot.

Farizan berkata setakat hari ini, seramai 41 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut dan kumpulan penerima awal dari unit Tahap 1 telah menerima bantuan tersebut.

Beliau berkata nelayan Permatang Tepi Laut yang layak menerima bot dan enjin baharu seramai 79 orang dan 59 lagi nelayan bagi kes khas pula akan menerimanya secara berfasa mulai bulan depan hingga Jun 2024.

“Selepas itu, Kerajaan Negeri akan memulakan proses perolehan dan pembinaan bot untuk nelayan dari tiga unit lain di kawasan Tahap 1,” tambahnya.

Sementara itu Mohamad berkata bantuan berkenaan, membolehkan nelayan pergi lebih jauh dan pantas kerana bot baharu mereka lebih besar, seterusnya meningkatkan hasil tangkapan.

Beliau berkata perkara ini sekali gus membolehkan nelayan menambah baik sosioekonomi keluarga, serta menyumbang kepada kepelbagaian ke arah usaha melestarikan sektor perikanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan