Oleh Shanika Abdullatib
MELAKA, 26 Nov (Bernama) -- Reka bentuk berkonsepkan tandas di hotel serta hentian rehat dan rawat (R&R) yang diterapkan dalam projek naik taraf dan selenggara tandas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nyata mengujakan murid sekolah di negeri ini.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu, Mumtaz Nur Ain Muhammad Amir, 11, berkata tandas di sekolahnya sebelum ini terpaksa ditutup kerana mempunyai masalah saluran kumbahan tersumbat dan paip rosak namun selepas dinaik taraf beliau dan rakan-rakan teruja kerana kemudahan itu kini berwajah baharu.
"Tandas baharu ini sangat selesa dan saya bersyukur kerana cikgu banyak membantu untuk keselesaan murid dan kami lebih bersemangat untuk menjaga keceriaan tandas agar tidak kotor dan rosak," kata murid Tahun Lima itu kepada Bernama.
Rakannya, Sofia Indah Irdina Shahrizan, 11, berkata beliau lebih bersemangat untuk datang ke sekolah kerana sekolahnya kini mempunyai tandas dengan reka bentuk yang sangat cantik dan selamat untuk digunakan.
"Sebagai pengawas, saya akan pastikan murid yang bertugas sentiasa mengikut masa yang ditetapkan bagi memastikan tandas ini sentiasa bersih," katanya.
Muhammad Rayyan Nafiz Hesham, 12, dan Maya Medina Sahrul, 12, dari SK Telok Mas pula berkata suasana tandas yang berwajah baharu di sekolah mereka membuatkan murid-murid di sekolah itu lebih berhemah dalam menggunakan kemudahan berkenaan.
Murid Tahun Enam itu berkata keadaan tandas di sekolahnya sebelum ini agak kotor malah banyak yang rosak sekali gus membuatkan mereka tidak selesa untuk menggunakan tandas.
Bagi murid SK Duyong, Muhammad Alif Imran Abdullah, 12, dan Nur Azzaara Nor Azlan, 12, tandas sekolah mereka yang berwajah baharu bukan sahaja cantik malah lebih selesa menggunakannya kerana tiada lagi bau tidak menyenangkan.
"Jadi untuk menjaganya, kami akan sama-sama saling menegur rakan-rakan yang tidak menjaga kebersihan dalam tandas dan minta mereka ikut peraturan," kata Muhammad Alif Imran.
Dalam pada itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, Nur Syahira Adnan, 16, mengakui beliau lebih bersemangat dengan tandas yang dinaik taraf di sekolah tersebut memandangkan keadaannya lebih ceria dan selamat untuk digunakan.
"Sebelum ini tandas sering berbau dan agak tidak selesa digunakan oleh murid perempuan kerana keadaannya yang sedemikian. Jadi sekarang sangat selesa," kata pelajar Tingkatan Empat itu.
Muhammad Adnan Haqimi Abdul Rahim, 16, dari sekolah sama pula berkata dengan adanya tandas yang bersih, selesa dan berfungsi itu, ia lebih selamat untuk digunakan oleh pelajar di sekolah tersebut.
"Selepas dibaik pulih, lebih ramai murid menggunakan tandas ini kerana kelengkapannya selesa dan bersih. Jadi selepas ini, saya berharap semua rakan-rakan menggunakannya dengan berhemah dan tidak melakukan vandalisme," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial