AM

Selangor Disaran Wujudkan Sistem Laporan, Elak Penipuan Penjualan Lot Bumiputera

15/11/2023 05:03 PM

SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor disaran mewujudkan satu sistem pelaporan penjualan rumah antara Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan pemaju yang dikemas kini setiap minggu oleh pemaju bagi mengelak isu penjualan lot bumiputera kepada bukan bumiputera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata sistem yang diamalkan di Singapura itu dicadangkan untuk dilaksanakan berikutan terdapat beberapa laporan mendakwa pembeli bukan bumiputera yang membeli lot bumiputera terpaksa membayar penalti ekoran ditipu pemaju yang tidak mendedahkan status sebenar lot yang dijual kepada mereka. 

"Sebagai kerajaan negeri, kita perlu melihat kepada sistem sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan untuk melindungi pembeli rumah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Pembekalan 2024, di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Katanya, laporan itu perlu merangkumi antaranya harga setiap unit, unit yang berstatus lot bumiputera, lot yang terjual dan butir-butir pembeli lot tersebut bagi mengelak wujudnya isu penjualan lot bumiputera kepada bukan bumiputera.

Selain itu, katanya LPHS perlu mengenakan ke atas pemaju untuk membayar jaminan bank yang boleh dilucuthakkan jika pemaju tersebut menjual lot bumiputera kepada bukan bumiputera tanpa pelepasan.

Beliau berkata undang-undang juga perlu dipinda supaya kerajaan negeri boleh menuntut kerugian daripada pengarah pemaju ataupun pengarah syarikat induk pemaju berkenaan, supaya mereka tidak boleh gulung tikar untuk mengelak daripada bertanggungjawab.

Michelle turut mencadangkan syarikat pemaju, syarikat induknya dan pengarah berkenaan yang didapati menjual lot bumiputera kepada bukan bumiputera disenaraihitamkan dan semua projek pembangunan yang berkaitan mereka tidak diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan