EKONOMI

Usahawan Tempatan Khususnya Pmks Perlu Berani Teroka Pasaran Antarabangsa - Matrade

09/11/2023 12:53 PM

JOHOR BAHRU, 8 Nov (Bernama) -- Usahawan tempatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu berani meneroka pasaran antarabangsa dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata agensi itu yang mempunyai 49 pejabat perdagangan di seluruh dunia bersedia membantu usahawan tempatan untuk menembusi pasaran global.

Beliau berkata pelbagai syarikat tempatan yang dibantu termasuk PMKS, bukan sahaja dapat mengembangkan perniagaan malah turut membantu menyumbang kepada ekonomi negara.

“Walaupun prestasi ekonomi global agak perlahan tahun ini, mereka (usahawan) tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran tempatan.

“Pasaran domestik kita kecil. Jadi, persaingan agak hebat dan ramai pengeluar yang mengeluarkan produk sama serta bersaing sesama sendiri. Jadi, kenapa tidak luaskan ke pasaran yang lebih besar untuk diteroka,” katanya pada sidang media Hari Eksport Johor 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han.

Sehubungan itu, Abu Bakar berkata usahawan perlu mengambil peluang untuk melebarkan pasaran menerusi pelbagai program yang disediakan antaranya Hari Eksport Johor 2023.

Beliau berkata ia adalah platform terbaik untuk menemukan komuniti perniagaan terutamanya usahawan tempatan dan pihak berkaitan eksport bagi memahami pasaran global serta menjalin hubungan perniagaan dan berkongsi pengetahuan dalam arena perdagangan antarabangsa.

Hari Eksport Johor 2023 anjuran MATRADE dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) diadakan selama dua hari bermula hari ini dalam usaha menggalakkan eksport produk dan perkhidmatan negara khususnya PMKS.

Program ini mendapat sokongan dan penajaan oleh Exim Bank Malaysia, Fusionex Group, FedEx Malaysia, Hong Leong Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Bank, lima entiti yang berperanan penting dalam ekosistem perdagangan bagi menyokong pertumbuhan eksport Malaysia.

Menurutnya Hari Eksport Johor 2023 juga adalah platform penting untuk membangunkan dan membimbing lebih ramai usahawan pengeksport baharu Johor, di samping meluaskan pasaran antarabangsa seta pasaran sedia ada bagi tujuan meningkatkan ekonomi negara.

"Program ini turut berperanan sebagai satu pusat sehenti bagi perkongsian maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta akses kepada perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh kerajaan. 

“MATRADE berharap usahawan di Johor mendapat manfaat daripada program ini untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi Johor dan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan