AM

Ternakan Ikan Keli Institusi Pemulihan Jelebu Berkualiti, Dapat Sijil Mygap

04/11/2023 04:42 PM

JELEBU, 4 Nov (Bernama) --  Ternakan ikan keli  yang diusahakan banduan di Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu, merupakan ladang ternakan pertama milik Jabatan Penjara Malaysia yang mendapat Pensijilan MyGAP iaitu Amalan Akuakultur Baik dari Jabatan Perikanan (DOF).

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata institusi itu, menyediakan kemudahan ladang ternakan yang memenuhi ciri MyGAP serta dilengkapi kemudahan kolam rawatan, takungan, stor dan tempat kuarantin, serta penggredan ikan.

Beliau berkata pengeluaran ikan keli di institusi tersebut sebanyak 30.35 tan metrik, bernilai RM212,450 bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, dibekalkan kepada penghuni Penjara Jelebu, Penjara Kajang, Penjara Sungai Buloh, Penjara Puncak Alam, Penjara Wanita Kajang, Penjara Seremban dan Penjara Bentong.

“Ikan keli merupakan antara makanan utama bantuan di penjara di Semenanjung, menerusi ternakan di sini, pihak penjara dapat membekalkan keperluan mencukupi kepada penghuni...sekurang-kurangnya dua kali seminggu, banduan dapat menikmati sajian ikan keli,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyampaian Sijil MyGAP dan penyerahan bantuan Mesin Extruder M-Spex kepada institusi tersebut.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Adnan Hussain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang Datuk Bakri Sawir.

Nordin berkata ternakan ikan keli yang diusahakan sejak 2012 itu berkualiti, selamat dan halal, dilihat berpotensi untuk dikomersilkan bagi kegunaan komuniti lain.

Beliau berkata usaha melibatkan penghuni penjara di sini dalam ternakan ikan, dapat membantu banduan memiliki kemahiran untuk digunakan selepas mereka bebas daripada penjara.

“Kami bersedia berkolabrasi dengan mana-mana pihak bagi komersilkan ternakan ini, supaya hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat. Kualiti ikan keli di sini berbeza jika dibandingkan di luar sana,” katanya.

Sementara itu Adnan berharap institusi tersebut, dapat mengekalkan pensijilan ini dan menjadi contoh kepada ladang ternakan akuakultur lain milik jabatan penjara.

Beliau berkata pegawai DOF negeri dan Pejabat Perikanan Daerah Jelebu sentiasa mengadakan lawatan tapak projek secara berkala, bagi memberikan khidmat nasihat teknikal berterusan mengenai kaedah penternakan serta memberi khidmat nasihat berkenaan pendaftaran dan pensijilan MyGAP.

Adnan berkata selain itu pihaknya memberikan benih percuma iaitu 237,000 ekor benih ikan pelbagai spesies (Keli, Tilapia, Jelawat dan Kelah) yang dibekalkan kepada pihak Penjara Jelebu sepanjang tahun 2021 dan 2022, serta bantuan peralatan dan ternakan bagi memastikan pengoperasian kolam peternakan mengikut Amalan Akuakultur Baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan