GEORGE TOWN, 4 Nov (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menyasarkan 500,000 anggota terutama dalam kalangan anak muda menjelang 2025.
Ahli Majlis Pengakap Negara Tan Sri Johari Abdul berkata pihaknya menyusun atur pelbagai perancangan tahun hadapan bagi memastikan peningkatan keanggotaan PPM yang ketika ini mempunyai lebih 300,000 anggota.
"Sasaran keahlian PPM bermula di sekolah rendah seterusnya sekolah menengah dan terbaharu dengan usaha kerajaan menghidupkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0… pengakap dan badan-badan uniform lain akan diserapkan dalam elemen PLKN, ini akan menarik minat golongan muda menyertai pengakap," kata Johari yang juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Pengakap Untuk Kerjasama Serantau ASEAN (ASARC) ke-18 yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pengakap Negara Datuk Dr. Mohd Zin Bidin, Pengarah Serantau Asia Pasifik Jose Rizal Pangilinan dan Pengerusi ASARC Dr Somboon Bunyasari.
Sementara itu, Mohd Zin dalam ucapannya berkata mesyuarat itu bertujuan melatih generasi muda dalam aspek pembangunan sahsiah, intelektual, jasmani, emosi dan spiritual dengan memberi keutamaan kepada memahami budaya dan adat resam negara anggota ASEAN.
Beliau berkata ASARC juga mengukuhkan hubungan kerjasama sekali gus menyelaraskan program-program latihan dan pembangunan modal insan antara anggota pengakap di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial