SUKAN

Kecewa, Suasana Suram Di Bilik Persalinan - Cools

18/10/2023 10:28 AM

KUALA LUMPUR, Oct 18 (Bernama) -- Kapten pasukan kebangsaan Dion Cools mengakui kekalahan kepada Tajiskitan dalam final Pestabola Merdeka 2023 malam tadi, telah menjejaskan emosi para pemain menyebabkan dalam kalangan mereka dibayangi aura negatif, sehingga keadaan di dalam bilik persalinan sangat suram.

Namun, beliau berkata para pemain tidak boleh terus dirundung kecewa sebaliknya mengambil iktibar daripada perlawanan berkenaan bagi memperbaiki kelemahan menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.

“Ini adalah persembahan keseluruhan pasukan, kita kalah bersama, kita menang juga bersama. Kebanyakan pemain sekarang ini berfikiran negatif dan kita tidak sepatutnya membiarkan perkara itu. Banyak juga benda positif kerana pada saya, kita mendominasi perlawanan walau dengan pasukan di ranking lebih tinggi.

“Apa yang lebih penting sekarang ini adalah kelayakan Piala Asia pada November ini, kita perlu bersiap sedia,” katanya kepada pemberita selepas aksi final malam tadi, menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Turut ‘meratapi’ kekalahan malam tadi pemain pertahanan Matthew Davies, yang kecewa kerana tidak dapat menterjemahkan tandukannya ke dalam gawang lawan, sebelum tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Davies berharap kekalahan pasukan bimbingan Kim Pan Gon membuka jalan kepada peningkatan pasukan negara menjelang aksi kelayakan bulan depan.

“Kita ada peluang dan kualiti, kita cuma tidak dapat menyudahkan peluang, tidak ada rezeki dan tuah untuk perlawanan ini. Keputusan tidak baik untuk kami tapi kita akan fokus untuk kelayakan bulan depan.

“Memang boleh perbaiki ada aspek berbeza boleh diperbaiki tapi memang hari ini, kita kecewa. Nanti kita tengok balik perlawanan hari ini untuk lihat macam mana (permainan pasukan),” katanya.

Sementara itu, Stuart John Wilkin berkata walaupun kekalahan itu amat mengecewakan namun skuad Harimau Malaya tidak boleh terus dibayangi kesedihan dan perlu segera bangkit.

“Kita perlu segera bangkit...Sudah pasti ada analisis perlawanan ini. Kita akan tengok semula dan kenal pasti bahagian mana yang kita lakukan dengan baik dan apa yang perlu diperbaiki. Kita bersedia untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan D berdepan Kyrgyzstan pada 16 Nov di laman sendiri sebelum berlepas ke Taiwan untuk menentang tuan rumah pada 21 Nov.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan