TELUK INTAN, 27 Ogos (Bernama) -- Festival Kraf Perak 2023 yang bermula pada 25 Ogos hingga 3 September ini menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM1 juta dengan sasaran kehadiran sekitar 75,000 pengunjung.
Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata 51 usahawan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menyertai festival berkenaan, yang dilaksanakan sejak tahun 2014.
“Festival berkenaan dianjurkan dengan tujuan mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf tempatan kepada penduduk setempat, pelancong, di samping meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap kraf Malaysia.
“Bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’, ia menampilkan kepelbagaian produk kraf Malaysia yang terdapat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan usaha membudayakan seni kraf dalam kehidupan masyarakat seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi tinjauan mesra yang turut disertai Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ainu Sham Ramli dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak Mohamad Rizan Mohamad Nordin di Dataran Menara Condong di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam sesi tinjauan mesra itu Mohd Yusri turut menyampaikan 1,050 sijil penyertaan dan kit cakna kraf bagi aktiviti mewarna batik, anyaman bakul rotan serta membentuk pasu hiasan, kepada tujuh sekolah sekitar negeri Perak.
Beliau berkata pihaknya berharap penganjuran karnival ini juga mampu merancakkan lagi ekonomi usahawan serta komuniti kraf di samping memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rantaian nilai sektor pelancongan khususnya di Perak.
Katanya pelbagai aktiviti menarik yang lain turut diadakan sepanjang penganjuran karnival itu seperti pertandingan tarik tali, pertandingan silat cilik, permainan sukan rakyat, zumba batik Malaysia dan sebagainya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial