KUANTAN, 17 Ogos (Bernama) -- Usaha selama dua bulan mencari dan mengumpul kain terpakai berwarna putih, merah, biru dan kuning tidak sia-sia dengan terhasilnya gegantung Jalur Gemilang gergasi merentangi menara setinggi kira-kira 16 meter (m) di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di Jalan Beserah, di sini.
Gegantung berukuran 4m lebar dan 15m panjang yang dipasang di menara latihan menyelamat itu dihasilkan sempena Hari Kebangsaan 2023 dan ia hasil usaha sama antara APM Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan serta Jabatan Kesihatan Pahang selain mendapat 'sentuhan' 164 pelajar dari 15 sekolah di daerah itu.
Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata idea menghasilkan gegantung itu tercetus menerusi perbincangan antara APM Pahang dan PPD Kuantan pada April lepas, yang ketika itu mencari kelainan dalam usaha melibatkan generasi muda untuk turut serta menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
"Apabila sudah sepakat hendak menghasilkan gegantung kain Jalur Gemilang, bermulalah operasi mencari kain terpakai. Cabaran pertama sudah pasti adalah memastikan warna kain yang diterima adalah seakan-akan supaya warnanya nampak sekata dari jauh.
"Pelbagai jenis pakaian diterima seperti kemeja, baju Melayu, baju kurung dan pakaian kanak-kanak. Keseluruhannya, penuh tiga kereta diterima sebelum diasingkan mengikut warna dan kesesuaian," katanya kepada pemberita selepas acara merentangkan gegantung itu sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat APM Pahang hari ini.
Che Adam berkata proses menjahit bagi mencantumkan semua perca kain bermula Isnin lepas menggunakan tiga mesin jahit di pejabat APM Pahang dengan kebanyakan pelajar sekolah terlibat, masing-masing tidak sabar menunggu hasil akhir memandangkan ia penglibatan kali pertama mereka dalam kegiatan sedemikian.
"Paling rumit sudah pasti di bahagian bintang kerana susunannya perlu kemas bagi memastikan semua 14 bucu adalah sama besar. Selain itu, ada juga beberapa jahitan di bahagian lain termasuk jalur yang perlu dibuka dan dijahit semula kerana kurang kemas memandangkan majoriti kami baru dalam bidang jahitan.
"Agak tergesa-gesa juga untuk kami menyiapkannya dalam tempoh singkat apabila ada proses jahitan yang perlu dilakukan semula selain operasi mencantumkan hanya dapat dijalankan dari pagi hingga petang," katanya dan menambah gegantung itu akan direntang sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib Andrew Tan, 19, mengakui berbangga dapat menyaksikan acara merentang gegantung Jalur Gemilang itu kerana dalam menghasilkan jalur putih dan merah, ia merupakan sebahagian daripada usahanya bersama keluarga serta rakan-rakan untuk mengumpul kain berkenaan.
Tan yang juga anggota Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) berkata dia sedaya-upaya mencari pakaian lama tidak bercorak bagi memudahkan usaha menghasilkan gegantung tersebut.
"Akhirnya dapat juga warna putih kosong iaitu kot makmal yang sudah tidak digunakan lagi kerana ada sedikit kotoran manakala warna merah adalah baju kurung," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.
Tan berkata proses mencantumkan semua perca kain merupakan 'bahagian paling diingatinya' kerana dapat berkenalan dengan rakan baharu daripada pelbagai sekolah yang turut sama menyertai KASPA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial