TAIPING, 9 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini melancarkan Aplikasi Zakat Perak bertujuan menarik minat syarikat korporat serta badan berkanun melunaskan bayaran zakat perniagaan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Shahrul Azam Shaari berkata buat masa ini, aplikasi yang dibangunkan MAIPk itu memberi kemudahan kepada pengguna android mengakses pelbagai maklumat termasuk pengiraan zakat, usahawan asnaf dan bayaran zakat.
“Selain itu, antara kemudahan dalam aplikasi itu meliputi penyediaan sijil digital sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pihak berkaitan atas kesetiaan serta komitmen terhadap pembayaran zakat berkenaan.
“Aplikasi ini juga turut menyediakan logo berserta kod QR sebagai platform hebahan dan dakwah zakat kepada prospek pembayar zakat perniagaan serta masyarakat dapat mengenal pasti syarikat yang membayar zakat perniagaan dengan mudah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Ziarah Korporat 2023 MAIPk Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di sini hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan turut disertai kira-kira 200 individu dalam kalangan kakitangan syarikat korporat dan badan berkanun di negeri Perak.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata MAIPk menyasarkan RM50 juta akan berjaya dikutip melalui zakat perniagaan menjelang hujung tahun ini.
“Sehingga Jun lepas, jumlah kutipan zakat perniagaan yang dicatatkan adalah berjumlah RM12.85 juta dan kita harapkan sasaran yang telah ditetapkan (RM50 juta) berjaya dicapai dengan komitmen semua pihak,” katanya.
Shahrul Azam berkata MAIPk juga akan melipatgandakan usaha untuk memastikan syarikat korporat dan badan berkanun yang menjalankan operasi perniagaan di Perak dapat melaksanakan kewajipan zakat perniagaan bagi manfaat dan maslahat asnaf.
“Kita cuba bincang dengan syarikat yang beroperasi di Perak khususnya berkenaan perkara ini. Maklum balas yang diterima amat baik. Ada yang akan menyahut usaha ini dan ada juga dalam proses untuk dapatkan kelulusan dari ibu pejabat di Kuala Lumpur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial