AM

Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-haj Di Dataran Merdeka Hari Ini

02/08/2023 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan akan diadakan di Dataran Merdeka, hari ini bermula pada 9 pagi hingga 4 petang.

Majlis anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2.30 petang bertujuan untuk mendidik generasi muda mengenai sumbangan Dr Ismail dalam membangunkan negara ini.

Majlis berkenaan yang menyasarkan 15,000 pengunjung, akan membariskan tiga segmen utama iaitu wall of memories yang mempamerkan gambar, teks ucapan, busana serta koleksi peribadi Dr Ismail selain persembahan tradisional antaranya rebab, ghazal dan silat.

Tayangan dokumentari khas juga disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang memaparkan tentang perjuangan Allahyarham sejak 1948 sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos 1973.

Pengunjung juga akan dihiburkan dengan tayangan wayang kulit dalam bentuk baharu dinamakan animatronik iaitu gabungan antara wayang kulit dan teknologi digital, deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said serta Jualan Rahmah dan pameran oleh agensi kerajaan terlibat.

Program berkenaan mendapat kerjasama strategik daripada 10 agensi dan kementerian antaranya Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Arkib Negara dan Perbadanan Putrajaya.

Tun Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dari 1971 hingga 1973, adalah antara tokoh penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam, 13 Mei 1969.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan