AM

'bakul Berkat' Rotan Ishak Jadi Pilihan

27/07/2023 03:42 PM

Oleh Shanika Abdullatib

MELAKA, 27 Julai (Bernama) -- Jika masyarakat Baba dan Nyonya berbangga dengan mangkuk tingkat mereka yang berwarna hitam dan merah dihiasi motif naga atau burung cenderawasih, mangkuk tingkat dikenali ‘Bakul Berkat’ yang dihasilkan Adiguru Kraf Ishak Kassim pula tidak kurang hebatnya dari segi kehalusan anyaman daripada rotan.

Hasil air tangan lshak, 64, bukan sahaja dipamer dan dijual dalam serta luar negara, malah Bakul Berkat pelbagai saiz, lapisan, reka bentuk dan warna itu kini menjadi antara pilihan utama orang kenamaan termasuk istana dan kementerian untuk dijadikan tanda mata.

"Bakul Berkat ini hasil inovasi dan cetusan idea dari semasa ke semasa. Apa yang membezakan Bakul Berkat ini dengan yang lain ialah ia menggunakan motif yang secara tulennya berasal dari Melaka dan Malaysia.

"Jadi apabila pelancong atau sesiapa sahaja yang ingin membelinya, mereka akan tahu selain kualiti, produk tersebut (Bakul Berkat) membawa identiti asli Malaysia," katanya kepada Bernama.

Menurut Ishak kehalusan, kemasan, kekuatan, saiz dan kombinasi warna produk yang dihasilkannya serta anak didik memberi perbezaan ketara kerana kemampuan menggabungkan pelbagai motif tradisional dan geometri kontemporari seperti motif pucuk rebung, siku keluang, mata punai, tulang belut, sisik ikan dan teknik jalinan satu, jalinan dua, jalinan tiga serta teknik kelarai.

Ishak berkata Bakul Berkat itu dihasilkan dalam reka bentuk geometri iaitu bulat, bujur, segi tiga, segi empat, heksagon, oktagon serta bentuk ‘D’ selain bentuk bijirin, kekacang dan nombor ‘8’.

"Apa yang penting, semua motif yang saya hasilkan berasal dari Melaka dan Malaysia, yang diperoleh selepas melakukan pelbagai penyelidikan bertahun lamanya untuk membezakan motif seni anyaman rotan kita dengan negara luar," katanya.

Penerima Anugerah Naib Johan pertandingan bidang kraf anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) (Asia Pasifik) pada 2003 itu berkata beliau mahu lebih ramai pelapis berkemahiran tinggi dalam kraf anyaman rotan dapat dilahirkan.

Beliau yang sering menghasilkan prototaip dan melakukan kajian dan pembangunan (R&D) bagi anyaman rotan sejak 1986 hingga kini di bawah Kraftangan Malaysia berkata banyak idea reka bentuk dicetuskan oleh pengusaha produk tersebut dan ia perlu dikembangkan dengan baik.

"Macam saya sendiri, ada 20 hingga 30 reka bentuk yang dibuat sejak dulu dan sampai sekarang tidak dapat dikeluarkan sebab saya rasa masih ada yang perlu ‘dicantikkan’. Menerusi idea dan inovasi semasa, saya akan kembali ketengahkan produk tersebut terutama pada Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 nanti," katanya.

Ishak berkata beliau akan terus mengendalikan latihan dan bengkel malah mengalu-alukan individu berminat datang mempelajari kraf anyaman rotan di bengkelnya di Bukit Piatu.

"Semua kelas diadakan di bengkel ini memandangkan kelengkapan termasuk bahan mentah utama iaitu rotan pelbagai saiz, ada di sini.

"Saya percaya selepas hadir ke kelas ini, lebih banyak peluang tersedia kepada mereka yang ingin menambahkan pendapatan terutama pada TMM 2024,” katanya dan menambah masyarakat terutama di bandar dan pinggir bandar semakin terbuka untuk menjadikan kraf anyaman rotan yang dahulunya sekadar hobi, kini sebagai punca pendapatan.

Menurut Ishak bengkel kendaliannya juga mendapat sambutan baik daripada pelajar institut pengajian tinggi, Orang Kurang Upaya, pusat pemulihan penagihan narkotik, sekolah serta badan bukan kerajaan.

"Malah ada golongan ibu tunggal kini mampu menjadi usahawan kraf ini (anyaman rotan) selepas mendapat mendapat tunjuk ajar dan secara tidak langsung meluaskan ekosistem antara pengusaha dengan agensi berkaitan," katanya yang mula mengajar di Bukit Goh, Kuantan, Pahang sekitar 1987. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan