AM

KERAJAAN LULUS DANA SEHINGGA RM1 BILION SETAHUN UNTUK TEMPOH 10 TAHUN JAMIN KELANGSUNGAN FELDA

07/07/2023 07:26 PM

SERDANG, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan meluluskan dana sehingga RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun untuk menjamin kelangsungan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penyaluran dana pembiayaan sukuk Felda tertangguh sebelum ini disebabkan komitmen kerajaan untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi. 

“Pembiayaan sukuk Felda tertangguh dan untuk teruskan dana pembiayaan sukuk yang tertangguh sebelum ini, saya dengan dukungan Jemaah Menteri, meluluskan dana sehingga RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda.

“Ia untuk kelangsungan Felda sebagai institusi gergasi dalam negara,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di sini hari ini.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan telah menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda. 

Ini juga membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Mengulas langkah itu, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan bertindak memansuhkan hutang peneroka itu kerana memahami apa yang dihadapi oleh peneroka dan mengangkat semula darjat Felda.

Sementara itu, katanya kerajaan juga mempertimbangkan usaha drastik untuk membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain yang bersesuaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata tanaman komoditi lain ialah seperti kelapa sawit, kelapa atau sebagainya.

“Namun, saya meminta tempoh sedikit untuk Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berbincang mengenai implikasi kos tersebut.

“Ini kerana keputusan ini termasuk dengan bayaran tanam semula (SES), yang akan ada implikasi kewangan kerana ia melibatkan banyak pihak seperti Felcra Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan