EKONOMI

Tnb Sifatkan Mekanisme Terkini Icpt Neutral Kepada Kumpulan Itu

23/06/2023 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyifatkan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos - Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang terkini bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2023 sebagai neutral kepada kumpulan itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat utiliti negara itu berkata langkah berkenaan juga tidak memberikan sebarang kesan kepada operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Menurut TNB, keputusan itu dilaksanakan bagi menangani kos penjanaan tambahan disebabkan harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2023.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan bersetuju menampung kos subsidi elektrik di bawah ICPT sebanyak RM5.2 bilion.

Menurutnya menerusi inisiatif baharu ini, pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

Katanya pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan, akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kwJ.

Nik Nazmi berkata berkata pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D) dan tarif pertanian spesifik (tarif H,H1 dan H2), tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Pengguna bukan domestik iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri, akan menikmati penurunan surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj atau 28 peratus hingga 35 peratus penurunan sebulan.

Sejak mekanisme ini diperkenalkan pada 2015, sehingga kini, kerajaan berjaya melaksanakan 18 kitaran ICPT.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan