KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kerajaan sentiasa menghargai dan memberikan sokongan kepada jururawat yang berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat Malaysia, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Sempena Hari Jururawat Sedunia hari ini, Dr Zaliha juga berharap agar semua jururawat terus berusaha dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jururawat yang berkhidmat di Malaysia. Terima kasih atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang perkhidmatan.
"Anda semua telah menunjukkan semangat kerjasama dan dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Dr Zaliha juga menyifatkan jururawat sebagai aset penting dalam sistem kesihatan negara kerana tugas dan tanggungjawab mereka amat penting dalam memastikan pesakit mendapat rawatan berkualiti dan profesional.
Menurutnya, jururawat juga menjadi penjaga kepada kesejahteraan pesakit di hospital, pusat kesihatan dan klinik-klinik di seluruh negara.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di Malaysia. Semoga hari ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya peranan jururawat dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial