PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan sama ada membenarkan rakan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan bertanding menggunakan lambang parti gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“… kita tidak menolak jika ada parti-parti lain dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan, jika mereka berhasrat untuk menggunakan lambang BN, namun ia belum dimuktamadkan. Hasrat itu ada (parti guna lambang BN) tetapi belum dimuktamadkan,” kata Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO.
Bagaimanapun beliau berkata Dewan Tertinggi BN telah memutuskan calon BN akan menggunakan lambang BN pada PRN.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata BN sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial