AM

Kpkt Siasat Tindakan Ahli Parlimen Pembangkang Guna Pili Bomba Atasi Masalah Bekalan Air

07/05/2023 09:48 AM

IPOH, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan seorang Ahli Parlimen pembangkang di Kelantan yang menggunakan air dari pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat.

Menterinya Nga Kor Ming berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen tersebut kerana ia merupakan perkara yang tidak bertaggungjawab untuk dilakukan mana-mana individu.

"Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.

"Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Larian Bersama Bomba anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang didakwa menggunakan pam penyedut bagi mengambil air dari pili bomba untuk mengagihkan bekalan air kepada penduduk setempat berikutan beberapa kawasan di Parlimen itu menghadapi masalah bekalan air.

Tindakan Siti Zailah itu dikecam pengguna Twitter yang membidas tindakan Ahli Parlimen itu yang dianggap tidak wajar dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan