AM

Fatiana Terima Tempahan Lebih 5,000 Bekas Biskut Raya Tahun Ini

11/04/2023 10:21 AM

Oleh Azli Shafii

TANAH MERAH, 11 April (Bernama) -- Menjelang sambutan Aidilfitri, suri rumah Fatiana Hanifa, 30, tidak menang tangan untuk menyiapkan lebih 5,000 bekas tempahan pelbagai jenis biskut raya seperti tart nanas, almond London dan samperit bunga pada tahun ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata beliau tidak menyangka minatnya membuat biskut raya sejak di bangku sekolah menengah telah menjadi kenyataan sehingga berjaya membuka kedai biskut raya sendiri berikutan sambutan yang sangat luar biasa daripada orang ramai.

"Niat saya pada awal hanyalah ingin ringankan beban suami Mohd Amir Akram Che Awin, 35, yang bekerja sebagai kerani untuk menambah pendapatan kerana pada waktu itu 2019 negara mula dilanda pandemik COVID-19.

"Justeru, alang-alang dah minat buat biskut raya sejak kecil lagi, saya fikir lebih baik diteruskan sebagai perniagaan sampingan untuk bantu keluarga," katanya ketika ditemui Bernama di kedai miliknya dekat Kampung Belimbing, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Fatiana berkata ketika memulakan perniagaan itu beliau hanya melakukannya secara kecil-kecilan dan hanya menerima tempahan di sekitar kawasan Tanah Merah melalui dalam talian sahaja.

"Saya tidak sangka permintaan pada waktu itu sangat memberangsangkan sehingga saya terpaksa melipatgandakan hasil jualan dan mencari pekerja untuk membantu.

"Setakat ini, saya mampu menghasilkan 200 hingga 400 balang pelbagai jenis biskut raya dalam sehari dengan dibantu oleh 13 pekerja," katanya yang turut mempelajari resepi biskut raya di media sosial seperti Youtube dan Facebook.

"Saya akan mula membuat biskut raya bersama pekerja bermula 8 pagi hingga 6 petang dan saya akan pastikan semua bahan yang diperlukan mencukupi seperti marjerin, telur, tepung gandum dan sebagainya.

"Walaupun harga bahan mentah semakin meningkat, saya tetap menjual pelbagai biskut raya ini dengan harga yang berpatutan iaitu sekitar RM12 hingga RM19 sebalang," katanya yang menambah ramuan sendiri untuk menghasilkan biskut raya yang gebu dan sedap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan