EKONOMI

Belanjawan 2023: Reformasi institusi perkhidmatan awam untuk fungsi lebih efektif

24/02/2023 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk mereformasi institusi perkhidmatan awam yang dilihat mempunyai pertindihan kuasa dan fungsi yang hampir sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata usaha itu termasuk kemungkinan membebaskan sepenuhnya dan mengasingkan saraan Badan-Badan Berkanun Persekutuan yang mandiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

"Pemusatan badan-badan kerajaan dengan fungsi yang hampir sama bertujuan supaya lebih efektif dalam menunaikan mandatnya.

"Sebagai contoh kerajaan mencadangkan penstrukturan semula insitusi yang memperkasa pegangan pelaburan bumiputera dengan menggabungkan Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera serta Yayasan Ekuiti Nasional dalam tempoh terdekat," kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Membangun Malaysia MADANI' itu berkata kerajaan juga meneliti keperluan menstruktur semula semua agensi yang mengawal selia dan menyelaras ekosistem syarikat pemula dan inovasi.

"Ini penting supaya dapat diselaraskan dengan lebih efektif usaha membangunkan syarikat pemula tempatan dari peringkat permulaan hinggalah berjaya disenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata agensi kerajaan hendaklah kembali mengutamakan fungsi asal penubuhan mereka dan pengarahan baharu lebih tuntas perlu bagi meneliti kemungkinan menutup mana-mana syarikat subsidiari yang merugikan dan tidak selari dengan fungsi penubuhan seperti syarikat ejen pelancongan, pengawal keselamatan dan teknologi maklumat.

"Kerajaan meneliti kemungkinan untuk melarang syarikat dan badan berkanun persekutuan untuk meneruskan amalan ini. Semakan semula juga perlu dilaksanakan ke atas pakej saraan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi syarikat dan badan berkanun pada kadar yang lebih munasabah.

Anwar juga berkata Kerajaan Perpaduan dengan tegas akan melaksanakan reformasi institusi dan tata kelola yang baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah dan penyelewengan yang sistematik.

"Semua agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sedang giat menyiasat salah laku rasuah termasuk nama-nama yang terkait dalam Pandora Paper. Agensi berkenaan juga akan terus menyiasat kekayaan luar biasa bagi memerangi jenayah rasuah daripada terus membarah," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan