KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Perkhidmatan waktu puncak bagi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur akan dilanjutkan bermula esok.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu puncak itu dipanjangkan dari 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal 7 pagi hingga 9.30 pagi dan dari 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 malam.
Menurut kenyataan itu pemanjangan operasi tersebut susulan gangguan perkhidmatan di antara dua stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek akibat penjajaran landasan yang bengkok.
“Langkah ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, selain mereka dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bilangan bas perantara percuma juga akan ditambah bermula esok bagi tiga laluan dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.
Tiga laluan itu ialah laluan LRT 9 melibatkan LRT Hang Tuah - LRT Bandaraya - LRT Hang Tuah (15 bas); laluan LRT 10 membabitkan LRT Masjid Jamek - LRT Bandaraya - LRT Masjid Jamek (9 bas); dan laluan LRT 11 iaitu LRT Sentul Timur - LRT Bandaraya - LRT Sentul Timur (10 bas).
“Prasarana memohon maaf atas kesulitan dialami penumpang dan amat menghargai sokongan serta kesabaran mereka. Inisiatif ini adalah komitmen kami dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pengguna sentiasa dalam tahap terbaik,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial