AM

NAFAS lancar logo Peladangnita, Peladang Muda, komited lahirkan ramai usahawan

30/11/2022 04:16 PM

PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini melancarkan logo baharu Peladangnita dan Peladang Muda peringkat kebangsaan dalam usaha menarik minat golongan wanita dan muda menceburi bidang pertanian serta melahirkan lebih ramai usahawan.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob berkata pelancaran logo itu membuktikan Nafas memberi perhatian serius terhadap peladang wanita dan muda dalam usaha melahirkan usahawan dalam kalangan golongan muda dan wanita.

"NAFAS menyasarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang melahirkan 500,000 Peladangnita dan 200,000 peladang muda dalam sektor pertanian yang menjadi satu perniagaan. Nafas akan memberi pendedahan kepada pelajar lepasan universiti supaya berminat menceburi bidang pertanian yang akan menjamin masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-49 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid, di sini hari ini.

Zamri berkata Peladangnita terdiri daripada ahli peladang wanita yang berumur 40 tahun ke atas dengan jumlah keahlian hampir 350,000 orang manakala peladang muda terbuka kepada ahli peladang lelaki dan wanita yang berumur antara 18 tahun hingga 40 tahun dengan keahlian hampir 100,000 orang.

Beliau berkata pelbagai usaha dilaksanakan NAFAS bagi menarik minat golongan muda dalam bidang pertaniaan antaranya menggalakkan anak-anak ahli menjadi ahli peladang serta memberi bantuan dalam bentuk kursus kepada siswazah untuk menarik minat mereka.

Pada majlis itu, NAFAS turut menerima replika cek tambahan pelaburan Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) iaitu Dana Peladang Kebangsaan tertinggi sehingga November 2022 untuk disampaikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Selangor yang berjumlah RM6.062 juta, PPK Simpang Lima bernilai RM1.541 juta dan PPK Hutan Melintang berjumlah RM1.539 juta.

Zamri berkata NAFAS melalui Dana Peladang Kebangsaan sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh dengan pelbagaikan aktiviti pelaburan alternatif serta meneroka produk pembiayaan baharu yang akan membawa manfaat kepada para pelabur untuk menikmati dividen yang lebih konsisten setiap tahun.

Beliau berkata NAFAS juga berharap kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih peka dan prihatin terhadap keluh resah serta denyut nadi rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup khususnya ahli-ahli peladang yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi dan risiko pertanian lebih-lebih lagi dalam situasi luar jangka seperti pandemik COVID-19.

Terdahulu,  Haslina dalam ucapannya berkata NAFAS yang ditubuhkan pada 31 Mac 1972 telah melakar pencapaian seiring dengan peranannya untuk memperjuangkan kemajuan sosial dan ekonomi golongan petani dan pada hari ini, ia mencatatkan hampir sejuta ahli peladang.

"Oleh itu, mengorak langkah ke hadapan, NAFAS bersama-sama gerakan Pertubuhan Peladang harus terus memainkan peranan yang lebih agresif dalam keseluruhan rantaian nilai agromakanan. NAFAS perlu terus proaktif dalam menceburi peniagaan-perniagaan baharu yang menyokong aspirasi kerajaan ke arah memperkukuhkan jaminan sekuriti makanan," katanya.

Haslina berkata harapan MAFI adalah seiring dengan aspirasi Dasar Agromakanan 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu supaya sektor agromakanan berkembang menjadi suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Katanya objektif DAN 2.0 turut menggariskan supaya rantaian nilai yang lebih tangkas dan berdaya tahan dengan aktiviti nilai tambah yang tinggi dapat diwujudkan dalam memastikan kelancaran operasi dan kekal kompetitif dalam keadaan yang menekan seperti perubahan iklim, pandemik global dan krisis lain yang boleh menyebabkan gangguan kepada rantaian nilai dan bekalan.

Beliau berkata penglibatan dan peranan NAFAS untuk menerajui keseluruhan rantaian nilai agromakanan tersebut perlu dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas, termasuk mengambil kira kerjasama dengan pihak swasta yang sedang dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan