AM

Tapak khas upacara kematian masyarakat India siap dua tahun lagi

16/11/2022 03:12 PM

PASIR GUDANG, 16 Nov (Bernama) -- Pembinaan tapak khas bagi mengendalikan upacara kematian masyarakat India di Tanjung Langsat, dekat sini, dijangka siap dalam masa dua tahun.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tender pembinaan tapak khas itu yang bernilai RM1.3 juta, telah dikeluarkan dan kerja pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi. 

Beliau berkata isu ketiadaan tapak khas bagi mengendalikan upacara kematian komuniti kaum itu di sekitar Masai dan Pasir Gudang sejak lebih 20 tahun lepas, sepatutnya sudah diselesaikan sebelum ini namun ia ditangguhkan berikutan pertukaran kerajaan.

"Pelaksanaan berkenaan akan diteruskan sebagai legasi usaha dan inisiatif dua bekas Menteri Besar Johor daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Usaha berkenaan secara tidak langsung menggambarkan inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi isu yang timbul dalam kalangan masyarakat India dan meningkatkan keselesaan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Khairat Masyarakat India di Tanjung Langsat, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang R. Vidyananthan.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Hindu Sangam Negeri Johor K.Vijayan berkata sebelum ini, waris si mati mengadakan upacara itu di mana-mana perairan dan ia dikhuatiri mengancam keselamatan.

Beliau berkata dengan kewujudan tapak berkenaan yang pertama di negeri ini di kawasan seluas 0.4 hektar, keluarga si mati juga tidak perlu menanggung kos tinggi bagi menjalankan upacara tersebut. 

"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan tapak dan peruntukan berkenaan. Kami berharap kerajaan negeri terus mengambil pendekatan seumpama ini bagi memperkasa masyarakat India," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan