IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Figura parti politik, pengarah filem dan banjir kilat adalah antara yang menghiasi hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Perak.
Perak menjadi arena bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi Parlimen Tambun.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan kini mencuba nasib di kerusi Parlimen Tambun, Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran di Parlimen Sungai Siput dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon di Parlimen Tanjung Malim.
Terdapat juga calon yang bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak iaitu Setiausaha Bersatu Perak Zainol Fadzi Paharudin (PN) di Parlimen Teluk Intan dan DUN Sungai Manik, manakala Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming (PH) pula mempertaruhkan nasib di Parlimen Teluk Intan dan DUN Kepayang.
Seorang suri rumah, R Indrani juga membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Sungai Siput dan DUN Jalong.
Pengarah filem Datuk Jurey Latiff Rosli juga mencuba nasib di Perak dengan bertanding di Parlimen Lenggong atas tiket PKR.
Disebalik kesibukan proses penamaan calon hari ini, lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan seramai 274 mangsa ekoran banjir kilat di sekitar Taiping sejak petang semalam.
Kemeriahan proses penamaan juga tercalar apabila wujud kes kehilangan poster dan sepanduk parti politik di Sungai Siput, yang kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial