SUKAN

Tiga ketua jurulatih, seorang bekas pemain hantar permohonan mahu bimbing Kelantan FC

01/11/2022 12:22 PM

KOTA BHARU, 1 Nov (Bernama) -- Tiga ketua jurulatih dan seorang bekas pemain menyatakan hasrat untuk mengendalikan skuad bola sepak Kelantan FC selepas pasukan itu layak beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata kesemua permohonan itu telah diterimanya dan akan diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut.

"Mereka telah hantar permohonan yang mana tiga ketua jurulatih itu ketika ini membawa pasukan beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan seorang lagi adalah bekas pemain bola sepak Kelantan.

"Kita dalam proses menilai jumlah gaji mereka dan selewat-lewatnya keputusan itu akan diumum bersama pemain baharu yang bermain pada musim depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Akademi Bola Sepak Antarabangsa The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam.

Norizam berkata Kelantan FC akan turut melakukan rombakan melibatkan beberapa pemain bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

"Saya telah mendapat nasihat daripada barisan jurulatih untuk mengekalkan pemain yang bagus sahaja, jika tidak kita boleh menamatkan kontrak pemain itu.

"Begitu juga dengan pemain import, kita akan membawa masuk pemain dari beberapa negara bagi melengkapkan sembilan kuota pemain import," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Akademi Bola Sepak Antarabangsa TRW, beliau berkata ia merupakan perancangan jangka panjang Kelantan FC bagi melahirkan pemain muda yang kreatif, berfikiran positif dan berdisiplin.

"Kita turut akan melakukan kerjasama dengan akademik bola sepak daripada beberapa negara di benua Afrika seperti Senegal," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan