AM

20 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

10/10/2022 02:58 PM

KUDAT, 10 Okt (Bernama) -- Kira-kira 200 penduduk Kampung Tanjung Kapur di sini hilang tempat tinggal selepas 20 rumah jenis tidak kekal hangus dalam kebakaran awal pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata 21 anggota bersama tiga jentera memadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.28 pagi.

“Pemadaman dijalankan menggunakan dua saluran daripada sumber air pili bomba. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.21 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.43 pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan BBP Kota Marudu itu turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah hari ini memberitahu satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka pagi tadi di Rumah Rehat Daerah Kudat di sini bagi menempatkan mangsa kejadian. 

“Sehingga pukul 2 petang tadi 252 mangsa daripada 44 keluarga ditempatkan di PPS itu, manakala proses penyaluran bantuan sedang dilakukan,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan