LAHAD DATU, 30 Sept (Bernama) -- Sebuah menara telekomunikasi akan dibina di kawasan pemuliharaan Lembah Danum di sini bagi memberi kemudahan liputan Internet lebih meluas dan pantas, sesuai dengan kawasan itu yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek berkata projek pembinaan menara berkenaan dijangka bermula menjelang akhir tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam bulan sekiranya tiada halangan cuaca.
"Pembinaan menara ini akan berupaya memastikan rangkaian komunikasi meliputi seluruh kawasan Lembah Danum khususnya di kawasan resort atau pusat peranginan, yang saya dapati kemudahan Internet itu hanya ada di lobi resort sahaja manakala di bilik-bilik, capaian Internet adalah lemah.
"Menyediakan Internet di kawasan pelancong ini menjadi satu cabaran, misalnya di Lembah Danum ini amat mencabar sebab dalam lingkungan hutan yang terdapat pokok berusia 300 tahun, sudah tentu langkah konservasi akan diambil kira sebelum pembinaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohammad berkata peluasan rangkaian komunikasi bukan sekadar tertumpu di kawasan berpenduduk di luar bandar tetapi juga melihat kepada kepentingan tempatan seperti lokasi pelancongan.
"Internet sekarang adalah utiliti penting kerana ada pelancong ini terlibat dengan e-nomad (nomad digital) yang bekerja bebas, selain bercuti pelancong ini boleh melakukan kerja mereka, itu harapan kita menyediakan kemudahan telekomunikasi," katanya.
Sementara itu, Mohammad yang juga Pengerusi Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) berkata pihaknya dalam usaha mempromosikan Malaysia yang memiliki pelbagai destinasi menarik sebagai lokasi penggambaran kepada syarikat produksi luar negara.
"Kita sedang membawa beberapa syarikat produksi untuk beri promosi penggambaran di kawasan pantai timur Sabah kerana ada syarikat yang menunjukkan minat mereka, di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dibawah kendalian Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) ini ada banyak pulau peranginan serta pulau yang tidak berpenduduk yang boleh dijadikan sebagai tempat penggambaran filem, ini akan meyakinkan keselamatan di ESSZone.
"Saya difahamkan ada syarikat produksi dari Denmark dan Amerika Syarikat menunjukkan tanda minat mereka untuk membuat penggambaran filem ikhtiar hidup di Sabah, pulau-pulau dan ada beberapa dokumentari pernah dibuat di Lembah Danum sebab itu dengan adanya menara telekomunikasi akan memudahkan syarikat produksi melakukan kerja-kerja produksi di sini," katanya.
Beliau berkata tujuan utama pihaknya bukan sahaja untuk mempopularkan destinasi menarik di Malaysia tetapi turut membuka pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial