KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Diplomat asing di Malaysia menyampaikan ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 hari ini.
Duta Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi, dalam satu video pendek yang disiarkan di halaman rasmi kedutaan, mengucapkan "Selamat Hari Kebangsaan 2022 kepada semua rakan di Malaysia."
Sempena sambutan Merdeka pertamanya di sini, diplomat itu memilih taman di ruang atas bangunan LalaPort di Bukit Bintang sebagai lokasi untuk menyampaikan ucapan Kemerdekaan.
“Ini kali pertama saya merasai sambutan Merdeka yang meriah. Saya berdiri bersebelahan bangunan ikonik Menara Merdeka 118 di sini, yang akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia apabila siap kelak.
“Mari kita sama-sama kibarkan bendera Jalur Gemilang bagi menghayati semangat Hari Kebangsaan. Semoga Malaysia maju dengan lebih banyak kejayaan,” katanya.
Duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia.
“Kedua-dua negara kita telah menikmati hubungan mesra yang telah terjalin sejak 60 tahun lalu dan akan terus bekerjasama untuk mengukuhkan hubungan mesra ini.
“Kami mendoakan keamanan, kemakmuran dan kemajuan buat semua rakan di Malaysia. Selamat Hari Merdeka!,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', diadakan di Dataran Merdeka – perhimpunan besar pertama dalam tempoh dua tahun selepas negara dilanda pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial