EKONOMI

Jabatan Pertanian Sabah, MKIC bekerjasama majukan sektor penanaman kelapa

21/08/2022 06:03 PM

SEMPORNA, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pertanian Sabah dan Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn Bhd (MKIC) hari ini memeterai nota persefahaman (NoU) membabitkan usaha sama pengesahan ketulenan bahan tanaman dan khidmat nasihat teknikal teknologi untuk tanaman kelapa.

Pengerusi MKIC Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata NoU itu membolehkan syarikat terbabit mendapat bimbingan serta didaftarkan oleh jabatan tersebut sebagai peserta Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Sabah dan penyertaan dalam Skim Amalan Ladang Baik.

“Nota persefahaman itu merupakan kesinambungan kerjasama yang terjalin antara dua pihak sejak tahun lepas dalam sektor tanaman kelapa.

“Kerjasama itu juga melibatkan perkongsian teknologi tanaman kelapa serta maklumat lain berkaitannya," kata beliau ketika berucap pada majlis menandatangani NoU itu di sini, hari ini.

Dokumen itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MKIC Mohd Syahrin Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Jifrin Mohamad yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan.

Sabin berkata dua pihak terbabit turut menjalankan kerjasama menghasilkan benih kelapa hibrid matag, termasuk sasaran penghasilan 200,000 benih dalam tempoh lima tahun untuk dibekalkan kepada pekebun kecil negeri itu.

MKIC menyertai penanaman kelapa sawit di Sabah sejak 30 tahun lepas dan seterusnya sektor perladangan kelapa dengan operasi kelapa berskala besar di Ladang PJ Nagus dekat sini sejak 2018.

Menurutnya, ladang yang asalnya seluas 50 ekar kini bersaiz 834 hektar, sekali gus menjadikannya yang terbesar di Sabah.

"Apabila kematangan tanaman kelapa dicapai sepenuhnya menjelang 2026, Ladang PJ Nagus dijangka menghasilkan tidak kurang daripada 20 juta biji kelapa setahun," katanya.

Sambil menyifatkan kejayaan ladang itu hasil daripada sokongan padu Jabatan Pertanian Sabah, beliau berkata penglibatan dalam sektor itu juga membuktikan keyakinan MKIC terhadap potensi tanaman berkenaan sebagai hasil pertanian berimpak tinggi.

Sementara itu pada sidang media kemudiannya, Jeffery yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berharap kerjasama Jabatan Pertanian Sabah dan MKIC dapat dipertingkat bagi menjadikan sektor penanaman kelapa sebagai industri terbesar negeri bagi memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya juga berharap ini menggalakkan lagi industri hiliran, pemprosesan dan akhirnya eksport sejajar dengan sasaran menjadikan Sabah sebagai pengeksport bersih bahan makanan termasuk kelapa," kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan