AM

Dua rentung, van bawa muatan diesel langgar pokok tepi jalan

20/07/2022 01:14 PM

SIBU, 20 Julai (Bernama) -- Dua orang rentung apabila van membawa muatan diesel yang dinaiki terbakar selepas merempuh sebatang pokok di tepi Jalan Khong Yit Khim, di sini dalam kemalangan kendiri awal pagi tadi.

Ketua Bomba Zon Sibu, Janggan Muling berkata akibat kemalangan tersebut kedua-dua mangsa didapati tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dan penumpang sebelah hadapan.

Menurutnya, panggilan kejadian tersebut diterima jam 5.10 pagi dan satu pasukan telah digerakkan ke lokasi yang terletak 17km dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral kira-kira jam 5.27 pagi.

“Setibanya di lokasi pasukan Bomba mendapati sebuah van dengan membawa muatan minyak diesel dalam tong mengalami kemalangan kendiri dipercayai hilang kawalan menyebabkan van tersebut terbakar seratus peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan