CHUKAI, 13 Jun (Bernama) -- Penantian hampir 40 tahun 543 peneroka Felda Neram 2 di sini, untuk memiliki geran tanah rumah dan ladang kelapa sawit seluas lebih empat hektar, akhirnya tercapai hari ini.
Beberapa peneroka yang ditemui pemberita melahirkan kesyukuran kepada kerajaan, kerana banyak perubahan hidup dinikmati mereka sejak menyertai tanah rancangan Felda bermula 1983.
Md Nor Salleh, 67, berkata sukar digambarkan kepayahan yang dilaluinya bersama isteri Siti Fatimah Che Daud, 64, ketika mula bergelar peneroka, kerana terpaksa membersihkan hutan belantara dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Namun, kerajaan melalui felda banyak membantu dengan menyediakan skim pinjaman, kemudahan pelajaran anak-anak, malah ada kedai runcit menggunakan kaedah 'ambil dulu bayar kemudian'.
“Semua kemudahan yang disediakan Felda ini sangat membantu meringankan beban kewangan peneroka, dan hasilnya kami mampu hidup selesa di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran itu oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.
Seorang lagi peneroka Abdul Razak Ghani, 68, berkata dia berasa bertuah kerana terpilih menyertai Felda Neram 2 pada 1983, kerana nekad mahu membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.
“Sebelum masuk Felda, saya telah bekerja di ladang sawit swasta di Sungai Tong, Setiu. Sebaik sahaja tahu kerajaan mahu membuka satu lagi penempatan Felda di Kemaman, saya terus memohon kerana telah melihat kejayaan Felda di beberapa lokasi lain sebelum itu,” katanya.
Abdul Razak berkata kehidupan mereka di Felda lengkap dengan kemudahan termasuk sekolah, masjid, dewan orang ramai dan kehidupan sosial yang harmoni bersama jiran tetangga.
“Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan khususnya Felda, kerana menyediakan kehidupan yang selesa untuk kami,” katanya yang menitiskan air mata sebaik menerima gerannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial