BACHOK, 5 Jun (Bernama) -- Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak memerlukan RM10 juta untuk membaik pulih tujuh daripada 10 pintu kawalan air pasang surut di Gong Kulim, Pasir Puteh, dekat sini, yang rosak.
Pengarah IADA Kemasin Semerak Rohani Jusof berkata pintu kawalan itu berfungsi mengalirkan air berlebihan dari kawasan daratan ke laut, membekalkan air ke kawasan pertanian selain bertindak mengawal kemasukan air laut.
Rohani berkata sebelum ini Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk membaik pulih tiga pintu kawalan air yang rosak yang kini sedang dilaksanakan.
"IADA Kemasin Semerak memerlukan RM10 juta untuk membaik pulih tujuh pintu kawalan air itu bagi mengurangkan ancaman banjir serta membekalkan air ke kawasan pertanian di Jajahan Pasir Puteh.
Pada masa ini hanya tiga pintu berfungsi, tujuh lagi rosak serta tidak dapat ditutup dan menghalang kemasukan air laut ke kawasan daratan jika berlaku air pasang besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) aplikasi kapur cecair bagi kempen peningkatan hasil padi IADA Kemasin Semerak, di sini hari ini.
Sementara itu, Rohani berkata pihaknya menyasarkan hasil padi meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada lima tan metrik bagi setiap hektar kawasan sawah padi menjelang tahun 2025 menerusi kempen menggunakan kapur cecair.
"Kempen ini membabitkan 1,2000 orang petani yang mengerjakan 6,200 hektar sawah di jajahan Pasir Puteh dan Bachok. Mereka turut diberi beberapa insentif termasuk bahan input pertanian dan kerja merata tanah," katanya.
Seorang ahli Kumpulan Pengguna Air (KPA) Muhamad Mustafa, 61, berkata beliau yang mewakili 40 petani di bendang Kampung Alor Ganu akan menggunakan peruntukan berjumlah RM37,000 yang diberikan oleh kerajaan sebaik-baiknya.
“Peruntukan itu sangat membantu ahli kumpulan dan akan diagihkan sebaik mungkin untuk membeli input pertanian terutamanya kapur cecair bagi mencegah 'air masam kelat'," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial