AM

OKU dengan kenderaan PMA boleh guna lintasan pejalan kaki - Wee

27/04/2022 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Orang Kurang Upaya (OKU) dan individu mempunyai masalah kesihatan yang menggunakan Personal Mobility Aids (PMA) boleh menggunakan lintasan pejalan kaki di jalan raya bagi tujuan melintas jalan. 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata bagaimanapun pengguna dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan menjaga keselamatan diri dan pejalan kaki yang lain semasa melintasi jalan tersebut. 

“Terdapat sedikit kekeliruan mengenai pemahaman orang ramai terutama golongan OKU berkaitan peraturan penggunaan peralatan PMA. Kenderaan mikromobiliti PMA secara umumnya adalah merupakan kenderaan yang direka bentuk dan dibina bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan dan khasnya untuk golongan OKU.

“Penggunaan PMA ini di atas jalan adalah dilarang. Ini bermakna, tiada mana-mana orang dibenarkan menggunakan di atas jalan yang bercampur dengan aliran trafik kenderaan motor yang lain seperti kereta, lori pasir dan bas.

“Jika tidak dilarang, penggunaan PMA di atas jalan termasuk di atas lebuh raya akan mendatangkan risiko nahas jalan raya dan kehilangan nyawa atau kecederaan yang tinggi. Hal ini juga bagi mengelakkan PMA ini disalah guna oleh individu yang sihat tubuh badan untuk menggunakan sewenang-wenangnya di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak mengenai larangan kenderaan PMA di atas jalan raya.

Semalam Wee mengumumkan tiga kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan PMA dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun Wee berkata penggunaan PMA tidak dilarang untuk digunakan di atas permukaan selain daripada jalan kerana ia adalah di luar daripada skop Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah Larangan itu.

Menurut Wee, penggunaan di atas permukaan atau lokasi seperti di dalam kawasan pusat beli-belah, laluan pejalan kaki atau kaki lima kedai dan di taman-taman adalah tertakluk kepada kuasa oleh pihak berkuasa yang berkenaan atau pemilik taman atau pusat beli-belah.

“Untuk pengetahuan semua pihak, dalam membangunkan dasar ini, kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU Sentral dan persatuan-persatuan OKU pada 23 April 2021 bagi mendapatkan input daripada pihak-pihak tersebut dalam pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan