KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Lebih 900 syarikat senaraian awam (PLC) di Bursa Malaysia setakat ini memenuhi 17 peratus penyertaan wanita dalam ahli lembaga pengarah dan pengurusan mereka, ia mempunyai keupayaan untuk mengupah dan memenuhi kuota penanda aras minimum 30 peratus penyertaan wanita selaras dengan aspirasi ramai pihak berkepentingan.
Pengarah Bebas Berjaya Corporation yang juga Pengurus Pementoran Kelab Malaysia 30%, Norlela Baharudin berkata ia memandangkan wanita hari ini mempunyai set kemahiran dan bakat yang betul dan pelbagai untuk mengisi jawatan ahli lembaga pengarah dalam PLC.
"Jika anda melihat rekod prestasi dicatatkan syarikat yang mencapai 30 peratus penyertaan wanita, data menunjukkan bahawa prestasi kewangan mereka berkorelasi dengan bilangan wanita di dalam syarikat yang bermaksud bahawa lebih kepelbagaian keanggotaan ahli lembaga itu, syarikat itu akan mencatatkan prestasi lebih baik daripada segi kewangan," katanya kepada media selepas sesi meja bulat bertajuk 'Berjaya Corporation Presents - In Thin Air - Addressing The Challenges of Women in the Workplace', hari ini.
Norlela berkata penyertaan wanita bukan sahaja mengenai potensi wanita dalam bidang perniagaan tetapi ia juga menunjukkan bahawa wanita, jika tidak sama, lebih baik daripada segi set kemahiran dan pengalaman berbanding lelaki.
Beliau juga menyatakan bahawa tidak sukar untuk mencari calon dan profil mereka kerana ia terdapat dalam senarai 30% Club, Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Malaysian Alliance of Corporate Directors (MACD), perkembangan institusi kewangan dan lain-lain organisasi berkaitan yang menjalankan program membimbing wanita.
"Kami mempunyai profil yang mencukupi untuk membekalkan sebanyak 30 peratus itu tetapi apakah yang menghalang syarikat? Ia adalah set minda dan ia perlu diubah," katanya.
Bagaimanapun, Norlela menegaskan bahawa ia bukan semata-mata memetik mana-mana wanita untuk menjadi ahli lembaga pengarah, ia perlu melalui proses pemilihan yang sangat teliti, dijalankan oleh jawatankuasa bukan jawatankuasa pencalonan.
Pada 2020, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa wanita menyumbang lebih 55 peratus kepada ekonomi negara. Ini bermakna pada tahun 2020 sahaja, wanita di Malaysia menyumbang sebanayak RM776.9 bilion kepada pembangunan Malaysia.
Sementara itu, mengenai dirinya sebagai pengarah bebas Berjaya Corporation, Norlela berkata wanita ketika ini bukan sahaja mewakili 57 peratus dalam Lembaga Pengarah (BOD), melebihi mandat 30 peratus, tetapi juga membentuk 57 peratus BOD bebas.
"Ini menunjukkan bahawa kumpulan itu suka mendengar pandangan dari luar berbanding dengan pandangan daripada kakitangan mereka sendiri," katanya.
Pada 2021, 30% Club Malaysia menyatakan bahawa terdapat 26 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah di 100 PLC teratas berbanding 2018 (24 peratus), 2019 (26 peratus) dan 2020 (25 peratus),
Norlela turut disertai oleh tiga lagi pengarah bebas kumpulan itu iaitu Datin Seri Sunita Mei-Lin, Penelope Gan dan Dr Jayanti Desan.
Sesi itu juga membincangkan topik yang berkaitan dengan halangan yang dihadapi wanita untuk diiktiraf dan diberi penghargaan kerana kerja mereka, gangguan seksual dan diskriminasi jantina serta keperluan yang mustahil untuk dipenuhi seorang wanita bekerja 100 peratus di tempat kerja dan pada masa yang sama di rumah untuk keluarga .
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial