JOHOR BAHRU, 3 Mac -- Usahawan B40 yang belum mendaftarkan perniagaan mereka diminta supaya memanfaatkan program Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) bagi membolehkan mereka menerima pelbagai kelebihan disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.
Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Johor Sri Nor Indah Sarmon berkata pendaftaran perniagaan penting bagi memudahkan usahawan memohon pelbagai dana ditawarkan agensi kerajaan di samping memberi keyakinan kepada pembeli terhadap urus niaga yang dijalankan.
Beliau berkata ia juga membolehkan usahawan menguatkuasakan hak di sisi undang-undang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap perniagaan.
“Berdasarkan pemerhatian, ramai usahawan masih kurang sedar kepentingan mendaftarkan perniagaan. Apabila hendak mohon bantuan, baru mereka tahu kepentingannya kerana agensi atau bank yang menyediakan bantuan akan meminta bukti pendaftaran perniagaan yang aktif,” katanya kepada Bernama pada Program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di sini hari ini.
Sri Nor Indah berkata proses untuk mendaftarkan perniagaan tidaklah rumit seperti disangka kerana urusan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan ezbiz.ssm.com.my.
Menurutnya menerusi SPPP, usahawan turut dikecualikan daripada membayar yuran sebanyak RM30 untuk pendaftaran perniagaan milikan tunggal menggunakan nama sendiri, RM60 (pendaftaran perniagaan milikan tunggal atau perniagaan perkongsian) serta RM10 (cetakan maklumat perniagaan).
“Selain golongan B40, SPPP turut disasarkan kepada usahawan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dan kami berharap dapat menguar-uarkan kemudahan ini secara meluas kepada lebih ramai usahawan setempat melalui AKM,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz dilaporkan mensasarkan SPPP memanfaatkan seramai 180,000 usahawan kumpulan B40 dan kumpulan pelajar IPT untuk menceburi bidang perniagaan.
Sejak diperkenalkan pada Disember 2020 hingga April tahun lepas, hanya 4,447 permohonan telah diluluskan merangkumi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial