AM

Tidak timbul isu keliru bidang kuasa agensi urus harta pusaka - Takiyuddin

03/03/2022 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac -- Tidak timbul isu kekeliruan bidang kuasa agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan proses pembahagian harta pusaka, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata setiap agensi mempunyai bidang kuasa tersendiri termasuk dalam menguruskan pembahagian harta pusaka orang Islam dan agama lain.

“Sebagai contoh Mahkamah Tinggi bahagian sivil, setelah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan nanti, bidang kuasa mahkamah ini dinaikkan untuk (selesaikan) nilai harta pusaka lebih RM5 juta, melibatkan kes wasiat dan sebagainya untuk bukan Islam.

“Sementara JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan) bagi harta tidak lebih nilai RM5 juta untuk harta tak alih dan harta alih, manakala ARB (Amanah Raya Berhad) untuk nilai harta kurang RM600,000,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai), yang meminta penjelasan dasar kerajaan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam proses pembahagian harta pusaka, berikutan terdapat pelbagai agensi yang dipertanggungjawabkan menyelesaikan pembahagian harta pusaka.

Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan bagi 2021, sebanyak 43,519 kes pembahagian harta pusaka dengan nilai keseluruhan RM11.2 bilion telah diselesaikan, dengan nilai kutipan fi RM14.5 juta sebagai pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, semasa menjawab soalan Sabri mengenai statistik kes pembahagian harta pusaka yang tertunggak, Takiyuddin berkata sebanyak 72,348 kes direkodkan sehingga 31 Dis lepas dengan Kedah dan Selangor, masing-masing mencatat jumlah tertinggi iaitu 13,423 dan 10,358 kes.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan