Oleh Nurfardlina Izzati Moktar
SEREMBAN, 31 Jan -- Kerepek 'Nga Gu' memang sudah tidak asing bagi masyarakat Tionghoa setiap kali tibanya perayaan Tahun Baharu Cina, dan sambutan ini seolah-olah tidak lengkap sekiranya tidak disajikan dengan snek enak itu.
Nga Gu juga dikenali sebagai ‘Aarrowhead adalah sejenis sengkuang berbentuk bulat dan bertangkai yang bersifat bermusim dan hanya boleh diperoleh sewaktu musim bunga.
Seorang peniaga kerepek Nga Gu, Too Sau Moi, 51, berkata snek yang menjadi kemestian setiap kali tibanya sambutan Tahun Baharu Cina itu bukan sahaja mudah disediakan malah baik untuk kesihatan kerana tidak dicampur dengan sebarang bahan perasa tambahan.
"Seperti ada yang kurang jika sambut Tahun Baharu Cina tidak ada kerepek Nga Gu. Nak buat kerepek ini ringkas sahaja, hanya perlu dua bahan iaitu Nga Gu dan minyak masak, tidak perlu letak apa-apa perisa atau bahan lain seperti tepung atau serbuk kari.
“Resipi asli hanya perlu goreng Nga Gu yang disagat nipis ke dalam minyak yang banyak dengan suhu antara 70 hingga 80 darjah Celcius sehingga ia kelihatan kekuningan dan kelihatan rangup," kata suri rumah itu ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Avenue Garden, Seremban 2 di sini hari ini.
Too berkata setiap hari menjelang perayaan kali ini, dia mampu menghasilkan enam hingga tujuh balang kerepek Nga Gu yang dijual dengan harga antara RM15 hingga RM35 sebotol mengikut saiz kepada jiran dan saudara-maranya.
Mengulas lanjut, Too berkata stok Nga Gu tersebut dibelinya secara dalam talian dari Yunnan, China kerana bahan mentah itu agak sukar diperoleh di mana-mana kedai runcit dan pasar raya berhampiran.
Mengakui penghasilan kerepek berkenaan lebih sinonim dengan golongan tua, Too bagaimanapun berharap generasi muda didedahkan dengan pembuatan resepi makanan tradisi itu supaya ia tidak lenyap ditelan zaman.
"Kita akui generasi muda sekarang agak 'culas' untuk membuat sendiri kuih perayaan di rumah malah mereka lebih gemar membeli di kedai atau pasar raya, sebagai golongan lebih tua, kita perlu mengajar anak-anak ini cara menghasilkanya supaya mereka tidak lupa," katanya.
Ibu kepada tiga anak ini berkata selain kerepek Nga Gu, dia turut menghasilkan biskut dan kudapan lain untuk sambut perayaan Tahun Baharu Cina termasuk kuih loyang. Sehingga kini dia sudah menerima 200 tempahan kuih tersebut.
Lebih menarik, kuih loyang atau kuih ros yang dihasilkan Too menggunakan resipi turun-temurun nenek moyangnya yang diwarisi sejak 80 tahun lepas.
Menurutnya, masyarakat Tionghoa menganggap kuih loyang sebagai simbolik hubungan kekeluargaan dan persaudaraan yang erat dan kukuh.
"Bentuk bulat pada kuih itu bermaksud 'kebersamaan'. Orang Cina memang suka terhadap benda yang berbentuk bulat semasa menyambut perayaan kerana ia membawa petanda dan perkara yang baik," katanya.
Dalam pada itu mengenai sambutan pada tahun ini, Too berkata Tahun Harimau memberikan semangat kepada dirinya untuk meraikan Tahun Baharu Cina dengan berkumpul dan berkongsi kegembiraan bersama keluarga.
"Sudah dua tahun saya tidak dapat berkumpul bersama keluarga besar disebabkan pandemik COVID-19. Tahun ini saya sangat teruja kerana kesemua anak saya yang tinggal di luar akan pulang beraya selain dapat merasai kemeriahan 'makan besar' bersama mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial