KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Yayasan Felda hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian dan sumbangan sebagai Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama menawarkan program dialisis di Malaysia.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Felda dalam menjadi pemacu pembangunan generasi yang progresif melalui penyediaan peluang pendidikan berkualiti.
"Kursus dialisis ini ditawarkan di Kolej Yayasan Felda Negeri Sembilan dan telah berjaya melahirkan seramai 75 pelajar yang mendapat pensijilan dalam bidang tersebut sejak dimulakan pada 2019.
"Kursus ini mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia dan dijalankan selama dua tahun bagi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga Tahap 3," menurut kenyataan itu.
Menurut Felda, kursus dialisis itu dilaksanakan berlandaskan aspirasi untuk menyediakan latihan kemahiran bernilai tinggi terutama kepada generasi baharu Felda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan belia seluruh negara yang mampu meningkatkan kebolehpasaran golongan itu dalam dunia pekerjaan.
“Menerusi kursus ini, para pelajar akan mempelajari perkara-perkara berkaitan persediaan rawatan dialisis ke atas pesakit, pengendalian mesin, rekod dan stok perubatan sehingga ke peringkat penyeliaan.
“Bagi memastikan kualiti latihan dan kemahiran dapat dikuasai sepenuhnya, setiap pelajar akan menjalani tempoh latihan industri di pusat-pusat rawatan dialisis dan industri-industri lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Felda memaklumkan pada masa ini terdapat lebih daripada 479 pusat dialisis swasta yang boleh menempatkan tenaga kerja berkemahiran dari Kolej Yayasan Felda.
Menurut Felda, yayasan itu juga telah merangka strategi bagi meningkatkan jumlah pengambilan sebanyak tiga kelas bagi setiap kohort menjadikan jumlah pelajar seramai 225 orang dan dijangka akan dilaksanakan di Kelana Jaya, Selangor.
Strategi Yayasan Felda itu adalah selaras dengan aspirasi Felda untuk melahirkan lebih ramai generasi baharu yang berkemahiran tinggi sekali gus meningkatkan mobiliti sosial warga Felda keseluruhannya, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial