EKONOMI

Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat jadikan Sabah pengeluar terbesar - Mustapa

20/11/2021 06:18 PM

LAHAD DATU, 20 Nov  -- Sabah mampu menjadi pengeluar lembu pedaging terbesar negara dengan perlaksanaan projek Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat, Tungku dekat sini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata lebih RM12 juta peruntukan diluluskan untuk projek hab itu di kawasan seluas 6,837.46 hektar ladang ternakan serta kawasan meragut.

"Hab ini sekarang menerima 268 lembu, dan sehingga Jun (tahun) depan hab ini dijangka menerima 2,600 lembu baka secara berperingkat.

"Harapan kerajaan tinggi untuk projek ini iaitu membekalkan keperluan daging, dan dapat eksport  bekalan ke Brunei, Indonesia dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek hab lembu pedaging berkenaan dekat sini hari ini. 

Katanya projek itu yang turut melibatkan penyertaan 871 peneroka Felda Sahabat itu akan meningkatkan pendapatan mereka yang ketika ini purata pendapatan sebulan RM7,000 tiap seorang peneroka. 

"Dijangka setiap peneroka terlibat akan menerima tambahan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan selepas ini," katanya sambil menambah hab itu merupakan daripada 6,597 projek bernilai RM132 juta di bawah inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP). 

Sementara itu katanya bermula Januari tahun depan Felda akan mewujudkan sebuah akaun khusus bagi peneroka terlibat skim tanam semula dengan kadar caruman ketika ini RM120 sebulan bagi 10 ekar.

"Sebelum ini kadar caruman bagi satu ekar RM12 ini masuk dalam akaun umum Felda dan mula tahun depan akan dimasukkan dalam akaun khusus untuk lebih efisen," katanya.

Sementara itu Mustapa berkata kerajaan mengenal pasti 50 lokaliti termasuk empat di Sabah untuk melaksanakan projek rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik.

Katanya bantuan kerajaan negeri diperlukan bagi mengenalpasti lokaliti terbabit yang tujuannya bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar negara pada tahun 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan