KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu didedahkan dengan aspek keusahawanan digital bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas, sekali gus menjana pendapatan lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata ini berikutan pendedahan sedemikian terbukti berkesan apabila lebih ramai usahawan luar bandar mula menggunakan platform dalam talian dalam memasarkan produk masing-masing.
Menurutnya, sebagai contoh, seorang penjual loyang yang sebelum ini menjual produknya di sekitar Jasin, Melaka dengan pendapatan RM500 sebulan, kini berjaya meluaskan pasaran secara dalam talian ke Brunei, Australia dan juga Arab Saudi.
“Dalam masa tiga bulan, beliau berjaya menjana pendapatan lebih RM50,000 melalui platform dalam talian itu.
“Sebelum menyertai program MYNIC, peniaga itu tidak tahu produknya boleh dipasarkan menerusi laman sesawang selain pelbagai cara lain untuk promosi menerusi dalam talian,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UTMSpace dan MYNIC Bhd secara maya di sini, hari ini.
Hasnul berkata pihaknya juga telah bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi, antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Malaysia Digital Economy Cooperation (MDEC), sejak 2019 untuk menganjurkan webinar dan sesi latihan kepada PMKS.
Menurutnya, menerusi kerjasama dengan beberapa rakan strategik, seramai 14,000 peserta daripada pelbagai latar belakang perniagaan telah mendapat manfaat melalui program pada tahun ini.
“Digital adalah elemen yang mengubah dunia dan semua negara beralih ke arah keusahawanan digital. Oleh itu, jika kita tidak beri pendedahan kepada usahawan, ini akan turut menyebabkan Malaysia ketinggalan.
“Berdasarkan Laporan Bank Dunia, rakyat Malaysia sememangnya cekap melakukan pembelian secara dalam talian dan kita (sebaliknya) perlu lahirkan lebih ramai peniaga online pada masa ini.
“Kita juga tidak mahu terus menjadi negara pengguna (sedangkan) ada ramai usahawan dengan produk yang bagus. Kita mahu pasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Prof. Dr Azlan Ab Rahman berkata kerjasama itu turut memperkenalkan Sijil Profesional Keusahawanan Digital yang menyasarkan usahawan dari peringkat Institut Pengajian Tinggi dan PKMS, termasuk di luar bandar.
Menurutnya, mereka dapat memanfaatkan ilmu keusahawanan digital yang meliputi lima modul utama seperti pengenalan pemasaran digital, pemasaran melalui ‘search engine optimisation’ (SEO), pemasaran media sosial dan pembangunan laman web.
Malah, menerusi usaha integrasi kepada projek, peserta akan memanfaatkan pengetahuan mengenai modul tersebut dalam bentuk sebuah projek dengan bimbingan tenaga pelajar secara berterusan selama tiga bulan.
“Usaha ini untuk mengukuh dan memantapkan keupayaan, mempertingkat kemahiran semula dan latihan usahawan muda bagi membantu mereka memahami kehendak semasa perniagaan dalam talian. Ini sekali gus memastikan peningkatan produktiviti negara dalam sektor digital,” katanya.
Menurut Azlan, pengiktirafan sijil itu oleh London Examinations Board melalui syarikat Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC), akan turut memberi nilai tambah kepada usahawan di peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial