AM

JKSB sumbang bantuan makanan sempena sambutan merdeka

12/08/2021 11:53 PM

GEORGE TOWN, 12 Ogos  -- Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Pulau Pinang menyumbangkan bantuan makanan kepada 200 keluarga yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih sempena sambutan hari kemerdekaan.

Ketua Pegawai Eksekutif JKSB Faisal Shahbudin berkata syarikat itu akan bergantung kepada e-Kasih iaitu sistem bank data kemiskinan nasional yang dibangunkan oleh ICU Pulau Pinang bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan kurang bernasib baik.

“Sebagai sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, kami bersyukur kerana dapat membantu mereka yang memerlukan sepanjang pandemik ini di Pulau Pinang. 

“Kami juga dengan rendah hati meminta rakyat Malaysia untuk saling menyokong sepanjang tempoh kawalan pergerakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang Datuk Azman Ibrahim.

Faisal berkata inisiatif yang dikenali sebagai ‘Program Bakul Merdeka’ itu akan memfokus kepada golongan keluarga berpendapatan rendah tempatan dari kawasan Bayan Lepas dan Balik Pulau.

Beliau berkata pengagihan sumbangan itu akan dilakukan dalam tempoh seminggu bermula hari ini dan setiap keluarga menerima barangan runcit dan makanan tidak mudah rosak bernilai RM120 seperti susu tin, mi segera, beras, tepung gandum, gula, minyak masak dan kicap.

Beliau berkata syarikat konsesi Jambatan Kedua Pulau Pinang itu telah merangka pelbagai rancangan untuk menyambut bulan kemerdekaan namun berikutan situasi COVID-19 yang semakin membimbangkan, ia memutuskan untuk menangguh sebarang program secara bersemuka.

“Tahun ini, kami akan bergantung kepada media sosial dan berkongsi mesej-mesej Merdeka di sepanjang jambatan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan