JENAYAH & MAHKAMAH

Majikan dinasihat hantar pekerja terima vaksin COVID-19 di PPV KLCC ikut waktu janji temu

28/07/2021 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Polis Diraja Malaysia menasihati majikan agar menghantar pekerja mereka terutama warga asing yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mengikut waktu janji temu ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata ini bagi mengelakkan kesesakan di kawasan PPV itu.

"Ramai pekerja warga asing dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan dihantar ke PPV KLCC…majikan dimohon tidak menghantar pekerja terlalu awal ke PPV yang ditetapkan dan patuhi janji temu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 26 saat memaparkan keadaan sesak orang ramai beratur di pekarangan PPV KLCC.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang videonya tular di media sosial hari ini kerana meninggikan suara kepada seorang warga emas lelaki dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Mohamad Zainal berkata kompaun dikeluarkan selepas siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam dan kita mengesan satu rakaman video berdurasi 49 saat di media sosial menunjukkan seorang individu tidak memakai pelitup muka memarahi warga emas,” katanya sambil menambah lelaki itu dikompaun selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 5.20 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan