KUALA LUMPUR, 16 June -- MSM Prai Berhad (MSM Prai), anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Berhad, telah mendapat kebenaran untuk beroperasi semula bermula 15 Jun 2021, lebih awal daripada jangkaan, dengan mematuhi prosedur operasi standard serta panduan seperti yang digariskan oleh pihak berkuasa bagi sektor industri.
Pada awalnya, MSM Prai telah diberikan arahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberhentikan operasi buat sementara waktu dalam tempoh 8 hingga 17 Jun 2021 bagi melakukan proses nyahjangkitan di dalam premis yang terkesan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata MSM Prai akan memulakan operasi penapisan secara berperingkat dan dijangka mencapai semula momentum pengeluaran secepat yang mungkin selaras dengan prestasi kebolehupayaan dan pengeluaran yang konsisten di kilang tersebut.
“Kami akan terus memantau tahap operasi di samping memastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat dilaksanakan bagi memenuhi kepentingan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para pekerja syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata MSM turut membuat permohonan bagi mendapatkan keutamaan dalam program vaksinasi untuk semua pekerja dalam syarikat memandangkan MSM dikira sebagai salah satu pengeluar makanan keperluan asas.
Sementara itu, pengeluar gula tersebut berkata berdasarkan penilaian awal, impak penutupan sementara terhadap hasil dan pendapatan syarikat dianggarkan kurang daripada lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Syarikat itu juga sedang dalam proses membuat tuntutan insuran kerugian sepanjang tempoh penutupan tersebut dan pelan mitigasi telah dilaksanakan bagi mengelakkan kekurangan bekalan serta meminimumkan gangguan rantaian bekalan melalui penstrukturan semula strategi kesinambungan perniagaan di samping menggunakan kebenaran permit bagi mengimport gula bertapis.
Menurut MSM, kapasiti pengeluaran MSM Prai kekal sebanyak 1.05 juta tan metrik setahun dan bersedia untuk mempertingkatkan pengeluaran bagi mencapai tahap penggunaan kapasiti seperti yang disasarkan untuk tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial