JENAYAH & MAHKAMAH

99 RSPS bantu Tentera Darat Malaysia perkuat pertahanan siber

02/03/2021 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac  --  Angkatan Tentera Malaysia menubuhkan 99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber (99 RSPS) Tentera Darat Malaysia bagi memperkasakan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran dan ancaman siber daripada pelbagai domain.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata mengambil kira perolehan aset dan sistem terkini, pihaknya akan mengukuhkan dan mengintegrasi sistem pertahanan siber negara menerusi rejimen berkenaan.

“Tentera Darat perlu tangkas berubah dan mengelak daripada terdedah kepada eksploitasi dalam ruang siber yang boleh melumpuhkan keupayaan infrastruktur dan infostruktur,” katanya kepada pemberita selepas perasmian rejimen berkenaan di Kem Perdana, Sungai Besi, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Zamrose berkata perkara ini sentiasa menjadi keutamaan pihaknya demi kelangsungan misi dan kesiapsiagaan dengan menekankan aspek perencanaan dan pelaksanaan khusus ke atas keupayaan pertahanan siber. 

Justeru, katanya pelancaran rejimen itu adalah satu manifestasi yang menunjukkan kesungguhan pihaknya dalam memperkasakan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran dan ancaman siber daripada pelbagai domain. 

“Rejimen ini turut mempunyai misi untuk menguasai domain siber bagi mencapai objektif informasi Tentera Darat yang merangkumi ‘two theatre operation’ dalam situasi aman, konflik dan peperangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata seiring dengan pelan pembangunan strategik jangka panjang Tentera Darat Army4nextG, perolehan sistem peperangan siber taktikal dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Zamrose berkata pihaknya optimistik pemerkasaan operasi informasi dan keberadaan 99 RSPS dapat memastikan infrastruktur sistem maklumat Tentera Darat berdaya tahan, menjamin kerahsiaan dan integriti selain kebolehcapaian yang konsisten.

Jelasnya 99 RSPS juga adalah penyambung untuk merapatkan jurang pertahanan siber dan kerjasama di setiap peringkat pertahanan siber agensi kerajaan amat diperlukan.

Terdahulu, beliau turut hadir pada Program Derma Darah Perdana yang dilancarkan sempena Hari Tentera Darat ke-88, selain turut merasmikan projek rintis ‘Smart Role’ yang menyediakan kemudahan capaian internet (wifi), kamera litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan lampu limpah bagi kegunaan kem berkenaan.

Sempena sambutan hari berkenaan juga, beliau turut merasmikan Kompleks 73 Skuadron Semboyan GAPU yang merupakan bangunan baharu untuk menempatkan pasukan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan