KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengusulkan kepada Jabatan Peguam Negara agar kesalahan pencemaran alam sekitar dikategorikan sebagai jenayah terancang dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata cadangan berkenaan bukan melibatkan kes pencemaran Sungai Gong, Rawang, sahaja tetapi semua kes melibatkan pencemaran alam sekitar pada masa akan datang.
“Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) telah bertitah dan baginda melihat isu berkenaan begitu serius sehingga mengancam kesihatan ramai orang,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan empat pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata kesalahan itu merupakan jenayah berat serta berulang dan PDRM telah meneliti undang-undang yang terbaik untuk dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.
“Oleh itu, saya meminta orang ramai agar bertenang dan sabar kerana pihak polis sedang menjalankan siasatan kes ini. Siasatan dijalankan secara telus dan PDRM tidak mempunyai kepentingan untuk tutup kes ini atau mengurangkan darjah kesalahan ini,” katanya.
Mengulas mengenai isu penubuhan pasukan khas siasat jenayah pencemaran alam sekitar, Abdul Hamid berkata perkara itu akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat keputusan.
"Tiada masalah, kami sanggup menerima tangggungjawab ini dan yakin mampu untuk membantu Kementerian Alam Sekitar dengan penubuhan pasukan khas berkenaan, namun ia akan melibatkan pertambahan jawatan dalam PDRM,” katanya.
Abdul Hamid berkata PDRM telah memberikan pelbagai komitmen termasuk menangani isu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), selain menjalankan tugas mengekang penyeludupan besar-besaran dengan bantuan ribuan warga PDRM.
"Beban tugas itu akan bertambah, saya menjangkakan sekiranya cadangan Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) itu diluluskan KDN, maka saya memohon pertambahan perjawatan PDRM,” katanya.
Semalam, dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memulakan siasatan bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguat kuasa.
Kira-kira lima juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lepas ekoran pencemaran minyak yang didakwa dilepaskan daripada kilang terbabit sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial