AM

Hukuman berat perlu terhadap pelaku hina bendera, jata negara - Zahidi

18/08/2020 02:28 PM

SEREMBAN, 18 Ogos -- Hukuman lebih berat perlu diambil terhadap pelaku yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan perbuatan menghina Jata Negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Mengambil contoh negara jiran Thailand yang mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang menghina negara termasuk raja, beliau berkata tindakan tegas seperti itu akan memberikan pengajaran kepada semua pihak.

“Kita harap mereka ini (yang memasang Jalur Gemilang terbalik dan menghina Jata Negara) perlu ditangkap dan diambil tindakan lebih berat …tindakan tegas perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti dan Ziarah Kasih Merdeka di sini, hari ini. Turut dihadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad.

Beliau berkata hukuman berat itu akan mampu memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mewujudkan keadaan tidak harmoni seperti menghina Jalur Gemilang dan Jata Negara apabila mereka berasa tidak puas akan sesuatu.

Zahidi turut menegaskan kementerian akan terus melipatgandakan usaha untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang perlunya mereka menyayangi dan menghormati lambang negara.

“Kementerian akan teruskan kempen kibar Jalur Gemilang …supaya rakyat betul-betul memahami dan menyayangi serta menghormati negara, Jata Negara, bendera (Jalur Gemilang) dan warga kita,” katanya.

Mengenai program berkenaan, beliau berkata meskipun negara kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan COVID-19, namun ia bukanlah alasan Bulan Kebangsaan tidak dapat disambut dengan meriah.

"Sambutan kali ini mengikut normal baharu dan kita tidak mahu sambutan Merdeka kali ini kurang meriah dan tidak bersemangat. Jadi kita cuba yang terbaik bagi memastikan rakyat memahami dan mengamalkan prinsip Rukun Negara serta terus semarakkan semangat patriotik," katanya.

Program Merdeka@Komuniti merupakan program Jabatan Penerangan yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara.

Selain aktiviti pemasangan bendera, turut diadakan ialah Info On Wheels (IOW) Merdeka serta pertandingan lagu patriotik serta ziarah kasih merdeka, bagi mendekati masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan