SPORTS

Pang Ron-Pei Jing Naib Juara China Masters

06/09/2026 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Beregu campuran profesional Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terlepas peluang merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada final China Masters 2026 di Shenzhen, hari ini.

Pasangan ranking ke-85 dunia itu tunduk kepada naib juara dunia berkenaan 19-21, 16-21 dalam tempoh 50 minit, sekali gus menyaksikan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping merangkul gelaran kedua mereka pada kejohanan berstatus Super 750 itu selepas menjuarai edisi 2024.

Pada kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan USD1.25 juta (RM5.05 juta) itu, Pang Ron-Pei Jing membawa pulang USD43,750 (RM176,946) selaku naib juara, manakala pasangan China itu menerima USD92,500 (RM374,116).

Pencapaian berkenaan merupakan yang terbaik buat Pang Ron-Pei Jing dalam saingan Jelajah Dunia sejak mula digandingkan pada Malaysia Masters 2026, Mei lepas.

Bercakap selepas perlawanan, Pang Ron mengakui masih menyesuaikan diri dengan tekanan beraksi di pentas besar, namun berkata pengalaman mengharungi perlawanan itu membantunya semakin serasi dengan suasana pertandingan.

“Saya rasa belum berada pada tahap terbaik, mungkin kerana agak gementar. Tetapi selepas bermain beberapa mata, kami mula dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan di sini. Selepas itu, permainan kami semakin baik,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi rakaman audio yang dikongsikan kepada media.

Sementara itu, Pei Jing yang berpuas hati dengan prestasi keseluruhan mereka berkata tumpuan selepas ini adalah untuk terus memperkukuh gandingan serta membina keserasian bagi menemukan corak permainan yang sesuai dengan kedua-dua pemain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy