RENCANA

SAMPAI BILA PENGGUNA HADAPI ISU GANGGUAN AIR?

28/01/2020 11:38 AM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bagaikan "mimpi ngeri"! Begitulah keperitan yang terpaksa ditanggung warga pengguna termasuk yang tinggal di bandar setiap kali terputus bekalan air yang boleh berlarutan untuk tempoh masa yang panjang.

Episod bersengkang mata menunggu lori membawa bekalan air, menjinjing baldi menaiki tangga bagi yang tinggal di bangunan tinggi, menumpang mandi dan mencuci kain basuhan di rumah saudara-mara dan pelbagai kerumitan bagaikan tidak terdaya lagi untuk dilalui. 

Bagi pengguna, apa yang mereka mahu ialah apabila paip dibuka, ada air bersih yang akan mengalir untuk keperluan rutin kehidupan mereka termasuk bagi keperluan memasak, bekalan air minuman serta mencuci. 

Setiap agensi pengendali air bertanggungjawab untuk memastikan dapat membekal serta menyalurkan air bersih serta selamat berdasarkan piawaian, sehingga sampai ke rumah pengguna. Apabila terlalu kerap berlaku, sudah tentu ramai yang akan melenting dan berang.

Kawasan  Lembah Klang contohnya, pada 2019 sahaja, tidak kurang sembilan kali masalah gangguan air berlaku.  Kali terakhir pada 21 Dis  2019 apabila Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih terpaksa ditutup berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah di loji berkenaan.

Akibatnya sekitar 1.5 juta orang atau 336,930 pemilik akaun terpaksa menanggung beban gangguan bekalan air tidak berjadual itu.  Turut terjejas ialah premis komersial terutama yang terlibat dalam sektor penyediaan makanan yang melibatkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Sudah tentunya krisis air memberi imej yang tidak baik kerana Lembah Klang yang melibatkan sebahagian Selangor dan ibu negara Kuala Lumpur merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Persoalannya sampai bila keadaan ini akan berterusan ? Apakah 2020 akan menjanjikan situasi pembekalan air bersih yang lebih baik tanpa sebarang gangguan kepada pengguna?

 

PENCEMARAN YANG BERULANG

Masalah ganguan bekalan air berpunca daripada banyak faktor, antaranya masalah teknikal, penyelenggaraan loji, kebocoran paip dan kekeruhan air sungai yang terlalu tinggi. Paling membimbangkan pencemaran akibat pembuangan bahan kimia secara haram, tumpahan minyak dan sisa toksik.

Atas faktor geografi, lembangan sungai di Malaysia terutama di kawasan muka sauk sangat terdedah dengan risiko berlaku pencemaran sama ada menjadi lokasi pelupusan sisa pepejal jenis pukal seperti perabot sehinggalah kepada sisa toksik.

Menurut Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC), apabila berlaku pencemaran kimia seperti ammonia dan minyak, operasi loji terpaksa dihentikan kerana loji tiada keupayaan dan kemampuan untuk merawat bahan kimia tersebut. 

Sekiranya loji lambat ditutup, bahan kimia seperti ammonia, minyak akan memasuki loji dan menggangu operasi sehingga memaksa loji dihentikan untuk kerja pembersihan yang tentunya memerlukan kos yang tinggi selain kerugian masa.

Mengambil contoh Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terletak berhampiran pertemuan antara Sungai Semenyih dan Sungai Langat yang tiga kali ditutup pada 2019 disebabkan pencemaran bau dipercayai akibat pembuangan sisa toksik secara haram.

Sebenarnya, insiden pencemaran akibat pembuangan sisa toksik sebegini sudah acap kali berlaku pada tahun-tahun sebelum ini dan hampir setiap tahun, kejadian yang sama berulang termasuk di negeri-negeri lain.

Punca utama yang sering disebut adalah paras ammonia yang tinggi di dalam air mentah.

Antaranya, pada 2016, beberapa LRA di Selangor terpaksa ditutup akibat pencemaran sungai antaranya LRA Hulu Langat pada 16 Jan 2016,  LRA Bukit Tampoi, Hulu Langat,18 Feb 2016,  LRA Sungai Langat,  21 Feb 2016 dan penutupan LRA Semenyih pada 23 Sept dan 4 Okt 2016.

Pada 2017,  beberapa loji rawatan air di Johor ditutup,  juga disebabkan masalah yang sama di Sungai Johor yang melibatkan LRA Semangar,  LRA Sungai Johor, LRA Tai Tong di Kota Tinggi pada 27 Okt 2017.

Kualiti air sungai dinilai berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan di dalam bentuk Indeks Kualiti Air (IKA) berasaskan enam parameter iaitu Oksigen Terlarut  (DO), Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Ammonia Nitrogen (NH3N), pH dan Jumlah Pepejal Terampai (TSS).

Laporan Kualiti Alam Sekitar 2018 menyatakan beban pencemaran air berpunca daripada industri pembuatan, industri berasaskan pertanian, loji rawatan kumbahan, ternakan babi dan pasar basah.

 

RAKYAT BOLEH HILANG KEYAKINAN

Isu gangguan air yang kerap berlaku tidak boleh lagi dipandang ringan, justeru "penjenayah alam sekitar" ini perlu diseret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal. Kurangnya tindakan mungkin memberi isyarat seolah-olah apa yang mereka lakukan tidak menjadi satu kesalahan!

​​​​​ Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysiam (WECAM), T. Saravanan berkata impak paling besar sekiranya tiada tindakan bernas mampu dilakukan kerajaan boleh menyebabkan pengguna hilang keyakinan.

"Jika melihat kepada isu pencemaran, masih banyak kelemahan yang boleh diperbaiki terutama penguatkuasaan undang-undang.

"Isu ini tidak seharusnya dilayan seperti melepaskan batuk di tangga terutama bagi sesetengah pihak industri yang sering mengambil kesempatan dengan membuang sisa industri ke dalam sungai, " katanya.

Menurut beliau, undang-undang yang sedia ada tidak digunakan sepenuhnya kerana masalah penyelarasan antara jabatan kerajaan yang menyebabkan isu ini berlarutan.

"Antara isu yang sering timbul, siapa yang harus memikul tanggungjawab dan siapa yang perlu membuat pemantauan dan sebagainya.

"Setiap tahun modus operandi mereka (pihak industri) adalah sama dengan membuang sisa industri ke dalam sungai bagi mengurangkan kos. Mereka berani melakukan tindakan itu kerana tahu penguatkuasaan undang-undang kita lemah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau menambah, pihak yang terlibat di dalam menangani  isu air seperti kerajaan negeri, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Indah Water Konsortium (IWK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak mempunyai tindakan dan pelan bersepadu yang memberi keyakinan kepada rakyat bahawa isu ini mampu diselesaikan.

"Tiada pihak yang ambil tanggungjawab terhadap isu ini dan pihak berkuasa tidak menunjukkan taring dan membuat tangkapan atau pendakwaan di mahkamah. Undang-undang yang sedia ada harus digubal segera agar denda dapat ditingkatkan dan kuasa penguatkuasa diperluaskan lagi.

"Setiap rakyat Malaysia harus mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar dan memastikan sungai kita bebas daripada pencemaran .

"Tiada teknologi yang mampu membersihkan sungai yang tercemar melainkan  hanya dapat dicapai apabila kita mempunyai pelan bersepadu melibatkan semua agensi yang terlibat, " katanya.

 

KENAPA SUKAR BAWA PELAKU KE MUKA PENGADILAN?

Pendapat yang sama juga turut dikongsi Dr Mohd Yusoff Ishak, pensyarah kanan Pengurusan Sumber Akuatik, Kualiti Air dan Pengurusan Tasik, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia,

Kegagalan mengesan pelaku, membawanya ke muka pengadilan dan kemudian mensabitkan kesalahan jelas menunjukkan pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha untuk mengenal pasti kepincangan supaya dapat membanteras pencemaran sungai.

"Jika ini tidak dilaksanakan, mesej yang sampai kepada umum adalah kerajaan tidak berani bertindak, " tegasnya.

Seiring dengan kepesatan pembangunan di Lembah Klang, pihak berkuasa yang menguatkuasakan undang-undang alam sekitar sepatutnya menjangkakan pencemaran boleh berlaku pada bila-bila masa terutama peningkatan bilangan industri dan perumahan.

"Kita memuji langkah proaktif kerajaan Selangor dalam menambah rizab bekalan air mentah melalui simpanan luar rizab sungai dan sebagainya namun ia tidak bertahan lama jika pencemar sungai tidak dapat ditangkap atau berjaya disabitkan di mahkamah.

"Kewujudan bidang kuasa yang bertindih selain bersilang antara agensi dalam pengurusan sumber air menyebabkan agensi yang terbabit dilihat tidak cekap dalam menggembleng sumber demi melaksanakan tugasan masing-masing," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 Jelas beliau lagi, tindakan pihak berkuasa juga perlu lebih menyeluruh dengan merentas agensi dan kementerian selain perlu memperkasakan kepakaran forensik alam sekitar dalam mengenalpasti punca bahan cemar sehingga berupaya menjadi bahan bukti bagi mensabitkan pelaku di mahkamah.

Untuk itu, JAS seharusnya diberikan kemudahan makmal bertaraf antarabangsa atau setanding dengan makmal Jabatan Kimia agar sampel bahan cemar di persekitaran dapat dianalisa  oleh agensi berkenaan pada kadar yang lebih pantas.

Beliau turut menyarankan supaya diwujudkanan makmal bergerak forensik alam sekitar  bagi memudahkan siasatan seperti tiga kes utama pencemaran sungai di Selangor pada 2019 yang menimbulkan persoalan apakah bentuk tindakan mahkamah diambil terhadap pelaku oleh agensi-agensi yang terbabit dan berapa pula yang berjaya disabitkan di mahkamah oleh JAS.

 

PERLU LANGKAH PROAKTIF

Mohd Yusoff berkata, kita di Malaysia masih lagi bercakap soal paras Nitrogen Ammonia dan Permintaan Oksigen Biokimia ( BOD) dalam setiap insiden berkaitan bekalan air sedangkan ancaman terkini yang menanti sebenarnya adalah lebih serius.

Negara Eropah sebagai contoh telah dan sedang rancak menangani bahan cemar terbaharu seperti mikro-plastik, endocrine disruptors dan juga bahan kimia terkini di pasaran.

Perhatian serius perlu juga diberi kepada bahan cemar berkenaan kerana masyarakat di negara ini juga tidak ketinggalan daripada menggunakan bahan yang berpotensi mencemarkan alam terutama bahan kosmetik, farmaseutikal dan ubatan sampingan.

Selain itu pendekatan dalam menguruskan air mentah untuk minuman harus diubah daripada bersifat merawat secara "end-of-pipe" (merawat simptom dan bukan merawat punca) apabila ada pencemaran kepada pendekatan proaktif berdasarkan risiko yang sedang dihadapi oleh sumber air kita iaitu sungai.

"Negara Eropah sebagai contoh meminda perundangan berkaitan bekalan air dengan memberi akses kepada orang awam secara dalam talian tentang kualiti bekalan air minuman di kawasan mereka.

"Ini secara tidak langsung menambah keyakinan masyarakat mereka dengan keselamatan air paip," katanya.

 

 

RUANGAN SISI

 

FOKUS KEPADA PENSABITAN KES

Pindaan dan penambahbaikan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 amat dialu-alukan dan diharap dapat disegerakan sejak pertama kali diuar-uarkan pada 2017.

Pada masa ini, hukuman bagi pesalah yang melakukan jenayah membuang sisa toksik berbahaya  di bawah Seksyen 34B (4)  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi  lima tahun  dan denda tidak melebihi RM500,000.

Manakala hukuman Seksyen 22 (3) bagi kesalahan pencemaran udara dan Seksyen 25 (3) bagi kesalahan melakukan pencemaran sungai adalah denda tidak melebihi RM 100,00 dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

“Kita berharap  akta baharu JAS yang dinamakan Akta Perlindungan Alam Sekitar bagi menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat memberi fokus kepada pensabitan kes agar pesalah dapat dibuktikan dengan lebih pantas  serta meningkatkan jumlah hukuman denda yang lebih berat.

"Memandangkan terdapat ura-ura bagi memansuhkan  hukuman mati, kerajaan  diminta melihat kemungkinan mengenakan hukuman yang lebih keras seperti sebatan dan juga penjara mandatori,” kata  Dr Mohd Yusoff Ishak, pensyarah kanan Pengurusan Sumber Akuatik, Kualiti Air dan Pengurusan Tasik, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia.

Selain itu katanya,  SPAN juga perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang yang mereka ada.

Mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, hukuman denda RM10,000 atau penjara  setahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati mencemarkan sungai.

Menurut Mohd Yusoff, Kementerian  Air, Tanah  dan Sumber Asli pernah merancang untuk mengkaji semula Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi mengenakan hukuman lebih keras terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar.

Ini berikutan hukuman denda RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya gagal mendatangkan sebarang kesan dalam mengawal kes pencemaran alam sekitar.

"Walaupun Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memperuntukkan mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air sehingga menyebabkan kematian manusia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, tiada seorang pun  yang pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan ini walaupun telah beberapa kali kita mengalami insiden bekalan air tercemar,  " katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan