RENCANA

HUTAN HUJAN SEMAKIN GONDOL, APA TINDAKAN KITA?

15/02/2019 02:50 PM

Oleh Ravindran Raman Kutty

Penulis Ravindran Raman Kutty adalah pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.

 

KUALA LUMPUR  15 Feb (Bernama) -- Penerokaan tanah secara haram di Bukit Kledang, Perak sungguh membimbangkan. Menurut laporan media, hampir 10 hektar tanah diceroboh dan digondolkan tanpa kelulusan atau kebenaan pihak berkuasa di negeri itu.

Keadaan ini mengingatkan penulis kepada laporan akhbar suatu ketika dahulu yang berbunyi seperti berikut: “Malaysia is balding quickly”. 

Hutan hujan Malaysia dilaporkan mengalami kadar penggondolan tertinggi sebanyak 14.4 peratus atau kira-kira 47,278 kilometer persegi antara 2000 dan 2012, diikuti Paraguay, 9.6 peratus. Angka ini sesungguhnya amat memeranjatkan. 

Bukan sahaja hutan hujan teruk digondolkan, hutan paya bakau turut menerima nasib yang sama. Lebih daripada 250,000 hektar (besar daripada saiz kawasan Kuala Lumpur) hutan paya bakau diteroka sejak 12 tahun lalu, dan mungkin menyebabkan spesiesnya menjadi pupus. Keadaan ini juga mendedahkan manusia kepada bahaya peningkatan paras air laut.

Menurut alat pengesan hutan yang dimajukan National Aeronautics and Space Administration (NASA), kes penggondolan hutan meningkat 115 peratus dalam tempoh tiga bulan Januari hingga Mac 2013. Laporan itu juga mendakwa pokok-pokok di Malaysia ditebang 4 kali daripada kadar pelestarian seperti piawaian Bank Dunia; 80 peratus hutan hujan Malaysia di Borneo juga ditebang untuk balak, berdasarkan laporan Carnegie Institution of Science.

Laporan World Resources Institute (WRI) menyatakan lebih daripada 25,810 hektar kawasan paya bakau (iaitu lebih daripada tiga kali ganda hutan paya bakau dunia) dimusnahkan sepanjang tempoh 2001-2012. Malaysia kehilangan 4.6 peratus paya bakaunya dalam tempoh tersebut, dengan anggaran 1,000 hektar paya bakau digondolkan setiap tahun dan meningkat kepada seluas 4,052 hektar 2009.

 

Tindakan menebang hutan menyebabkan kita kehilangan tumbuhan yang melepaskan kelembapan menerusi dedaun. Kelembapan menyejat ke dalam atmosfera dan membentuk awan hujan, yang kemudiannya menghasilkan hujan. Oleh yang demikian, apabila hutan ditebang, akan berlaku kekurangan hujan di kawasan berkenaan.

Masih ingat apa yang berlaku pada 1998 apabila warga Kuala Lumpur berdepan dengan krisis air yang meruncing dan terpaksa mengimport air. Puncanya penggondolan banyak hutan di sekitar bandaraya tersebut. Keadaan diburukkan lagi dengan kesan El Nino. Pada 2014, Selangor dilanda krisis air yang amat teruk akibat pelbagai faktor termasuk hujan yang sedikit di kawasan tadahan air.

Mata pencarian masyarakat masyarakat orang asli turut terancam apabila hutan yang menjadi sumber untuk memperolehi hasil makanan digondolkan sehingga tidak ada lagi apa yang boleh dicari untuk menampung keperluan kehidupan mereka. Sebagai contoh, masyarakat Penan, impaknya begitu teruk sehingga mengancam kelangsungan hidup mereka. Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands yang berlangsung baru-baru ini turut memaparkan kebimbangan masyarakat Orang Asli yang bimbang dengan tindakan menggondolkan hutan untuk tujuan perladangan.

Hutan belantara Malaysia kaya dengan karbon, pelbagai spesies flora dan fauna. Meskipun cubaan dibuat untuk menggantikan pokok-pokok yang ditebang, cubaan sedemikian tidak mendatangkan hasil yang diharap-harapkan. Pokok-pokok yang ditanam tidak boleh menggantikan hutan yang hilang. Penanaman pokok seperti getah dan kelapa sawit tidak boleh menampung kehilangan hutan asal daripada segi kepelbagaian bio, penyimpanan karbon atau pengekalan sistem ekologi.

Pemusnahan paya bakau terutamanya di pantai barat dari Kedah ke selatan, meskipun ditukar kegunaannya untuk tujuan pertanian juga menjadi isu kebimbangan. Akuakultur juga satu lagi sektor yang memusnahkan paya bakau. Malaysia mempunyai 551,333 hektar hutan paya bakau. Paya bakau adalah tempat pembiakan serta kediaman banyak spesies hidupan. Paya bakau juga melindungi kawasan pantai daripada dilanda ombak besar dan tsunami. Kita harus bersyukur Pulau Pinang terselamat daripada tsunami yang berlaku sebelum ini kerana adanya hutan paya bakau. Bagaimanapun, keadaan yang sebaliknya mungkin berlaku pada masa depan jika paya bakau dimusnahkan.

Hutan paya bakau di Malaysia tidak dilindungi sepenuhnya. Meskipun banyak kawasan hutan paya bakau diwartakan sebagai hutan simpan di bawah pengurusan dan penguatkuasaan Jabatan Perhutanan, terdapat kawasan yang besar masih dikategorikan sebagai tanah milik negeri dan persendirian. Kawasan yang tidak dilindungi ini semuanya dirancang untuk pelbagai pelan pembangunan. Di sinilah letaknya cabaran untuk Malaysia.

Sebagai tambahan, banyak karbon dilepaskan ke dalam atmosfera ketika pembalakan besar-besaran dilakukan memandangkan karbon disimpan di dalam pokok. Keadaan inilah yang menyumbang kepada krisis perubahan iklim yang dihadapi dunia.

 

Pembalakan besar-besaran memusnahkan peluang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke dalam atmosfera. Kawasan hutan Borneo Malaysia mempunyai potensi besar untuk mengawal perubahan kerana pokok menyerap karbon dioksida dan melepaskan oksigen. Bagaimanapun pembalakan yang tidak dikawal boleh menyebabkan hutan kita tidak mempunyai peluang untuk tumbuh semula.

Banjir di pantai timur pada 2015 diburukkan lagi dengan kegiatan pembalakan besar-besaran di Kelantan menyebabkan tidak ada banyak pokok hutan untuk menyerap air hujan dan melepaskan air secara beransur-ansur. Tanpa hutan, air akan deras mengalir ke dalam sungai, meningkatkan risiko banjir di bandar, kampung serta kawasan pertanian. Banyak harta musnah dan ada juga nyawa yang terkorban.

Apakah masih ada harapan untuk kita pulih daripada kegiatan ini yang memusnahkan khazanah flora dan fauna negara?

Pembalakan secara haram mesti dihentikan. Usaha kerajaan untuk mengubah undang-undang perhutanan dengan Transparency International Malaysia untuk membenteras kegiatan pembalakan haram sememangnya dialu-alukan. Diharap langkah ini dapat dipercepatkan untuk memastikan kita dapat menyelamatkan hutan dan paya bakau di negara ini. Langkah kerajaan Sarawak  menghentikan pengeluaran lesen pembalakan buat sementara sehingga usaha mengekang pembalakan haram dan kegiatan alam, sesungguhnya amat dialu-alukan.

 

Perlu ada mekanisme yang lebih cekap dengan bantuan pengawasan GPS ke atas lori yang membawa kayu balak seperti yang dijalankan di Amazon. Apa yang berlaku di sana ialah tindakan pembalak menggagalkan cubaan untuk menghentikan pemusnahan hutan di hutan hujan terbesar dunia itu. Operasi secara terlindung itu bermula dengan pengawasan di kawasan hutan selama dua bulan untuk mengenal pasti rutin pemandu lori balak, di mana mereka makan dan mengisi minyak hingga ke feri sungai serta jambatan yang perlu mereka seberangi.

Pihak yang berkenaan turut memantau imej satelit dan membandingkan dengan maklumat syarikat pembalakan yang mempunyai permit. Langkah itu untuk mengenal pasti kawasan yang mungkin berlaku pembalakan secara haram. Sebaik sahaja sasaran dikenalpasti, pegawai penguatkuasa akan menyamar untuk meletakkan alat pengesan GPS dengan menggunakan kereta usang. Akhirnya, kegiatan pembalakan haram berjaya dihentikan. Kaedah ini boleh digunakan di Malaysia terutamanya terutamanya di negeri-negeri yang mempunyai kawasan hutan hujan tebal seperti Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Kerajaan Malaysia perlu lebih tegas dan proaktif dalam mengendalikan isu penggondolan hutan. Jabatan Perhutanan Pahang pada 2018 merampas 2,400 balak bernilai lebih RM3 juta yang diambil secara haram dari Hutan Simpan Chini dan Chini Tambahan. Apa yang berlaku ini seharusnya dipandang berat untuk pihak berkuasa mengambil langkah tegas

Kita tidak boleh bercakap tentang pendidikan alam sekitar tanpa menangani pemusnahan alan sekitar yang dilakukan menerusi kegiatan pembalakan haram dan penggondolan hutan. Kita perlu bertindak tegas untuk menunjukkan kepada penceroboh hutan bahawa kegiatan mereka akan dibenteras sehabis-habisnya. Seperti ungkapan Willian Hazlet, “Kita tidak melihat alam semula jadi dengan mata kita sahaja tetapi dengan kefahaman serta isi hati kita.”

 

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis).

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan